suria

Harga siling penutup mulut dan hidung dibincang hari ini

KUALA LUMPUR: Harga siling bagi penutup mulut dan hidung akan dibincangkan pada mesyuarat antara pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Kesihatan hari ini.

Menteri KPDNKK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga itu akan ditetapkan berdasarkan jenisnya.

"Setakat ini belum dapat dipastikan kadar harga yang akan dikenakan", katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata keputusan mengenai kadar baru itu dijangka diumumkan pada Rabu. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan mengkaji kemungkinan menjadikan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan bagi tempoh tertentu jika pembekal menaikkan harga barangan itu sewenang-wenangnya. Langkah itu diambil kerana terdapat segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menjual barangan itu pada harga yang lebih mahal ekoran penularan wabak influenza A (H1N1) di negara ini.

Berdasarkan tinjauan, harga penutup mulut dan hidung kini dinaikkan sehingga RM5 sekeping berbanding hanya 40 sen sebelum ini.

Ismail berkata sekiranya penutup mulut dan hidung diwartakan sebagai barang kawalan, peniaga tidak boleh menaikkan harga sesuka hati dan sekiranya ada yang masih menaikkan harga, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga.

Langkah untuk meletakkan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan disambut baik beberapa persatuan pengguna termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang berpandangan farmasi dan para peniaga sepatutnya menjual barangan itu pada harga minimum dan menganggap ia sebagai sumbangan kepada negara dalam membantu membanteras penularan virus itu.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah berkata ini adalah masa bagi mereka menunjukkan kesetiaan dengan membantu negara dalam membanteras penularan jangkitan penyakit itu, dan tidak mengambil peluang daripada keadaan semasa untuk menaikkan harga.

Muhammad Shaani berkata keutamaan penutup mulut dan hidung secara percuma perlu diberikan kepada pelajar sekolah daripada keluarga miskin, warga emas, serta lain-lain kumpulan yang mudah terdedah kepada penyakit itu.

"Orang ramai juga perlu dididik mengenai cara yang betul menggunakan topeng mulut dan hidung itu supaya lebih efektif, dan memastikan ia sentiasa ditukar. Tiada guna memakai penutup itu sekiranya ia sudah kotor, ia lebih memudaratkan," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, persatuan turut menerima aduan daripada orang ramai tentang harga yang meningkat selain kekurangan bekalan.

PPIM mencadangkan kerajaan membeli secara pukal barangan itu untuk diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti pelajar sekolah.

"Di sebalik harga yang naik saya harap pihak pengilang yang membuat topeng ini mendedahkan berapa harga sebenar supaya kita tahu pihak mana yang tidak beretika dan menaikkan harga sesuka hati," katanya.

Beliau berkata pihak korporat juga disaran untuk memainkan peranan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial membiayai pembelian penutup mulut dan hidung berkenaan dan diagihkan kepada orang ramai.

Bagi masyarakat awam, rata-rata berpendapat penetapan harga itu tepat pada masanya kerana kini semakin ramai peniaga yang sengaja meletakkan harga yang tinggi bagi barangan itu.

Ashraf Awaluddin, 23, berpendapat selain menetapkan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan, kerajaan juga perlu mencari bahan alternatif bagi menghasilkan penutup yang boleh digunasemula.

"Kebanyakan topeng mulut dan hidung sekarang jenis pakai buang, jadi mungkin kerajaan boleh cari jalan untuk hasilkan topeng yang boleh diguna semula untuk menjimatkan kos," katanya.

M.Viswanathan, 36, pula mahu kerajaan mewujudkan talian aduan bagi membolehkan orang ramai membuat aduan sekiranya ada peniaga yang menjual pada harga yang lebih tinggi.

Katanya dengan pengawasan seperti itu dapat menjamin barangan berkenaan dijual mengikut harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Bagi Firdaus Abu Bakar, 28, para pengeluar juga perlu memastikan jumlah bekalan barangan berkenaan mencukupi di dalam pasaran. BERNAMA

Artikel Lain