suria

Teori pembunuhan Teoh tak dapat dikemuka -Peguam

SHAH ALAM: Teori berlakunya pembunuhan dalam kematian Teoh Beng Hock tidak dapat dikemukakan kerana kegagalan pakar patologi menyoal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), inkues kematian Teoh di sini diberitahu hari ini.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata pakar patologi seharusnya menyiasat dan menemuramah pegawai SPRM bagi mengkaji kemungkinan berlakunya unsurunsur homisid (pembunuhan) dalam kematian setiausaha exco Selangor itu, Julai lalu.

"Saya katakan bahawa oleh sebab kamu tidak bertanyakan pegawai SPRM, maka kamu tidak memperolehi faktafakta yang material yang menyebabkan kamu menolak kemungkinan berlakunya homisid," kata Gobind kepada Dr Khairul Azman Ibrahim.

Kepada cadangan itu, Dr Khairul Azman, pakar perunding kanan perubatan forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, berkata: "Bukan tugas saya untuk menyoal siasat polis."

Prosiding menjadi lebih hangat apabila saksi ke10 itu diasak oleh Gobind beberapa kali mengenai sama ada beliau (Dr Khairul Azman) sebenarnya boleh menyoal siasat pegawai SPRM dan pakar itu menjawab: "Maafkan saya (koroner). Peguam ini bermain kata-kata."

Gobind kemudian bertanya: "Kamu tidak mempunyai bukti untuk menyokong (teori) berlakunya homisid kerana kamu tidak soal dan tidak buat siasatan terhadap pegawai SPRM?" dan Dr Khairul Azman menjawab: "Tiada komen."

Saksi itu menjelaskan walaupun beliau tidak menemuramah pegawai SPRM tetapi beliau ada bertanyakan butirbutir kes itu daripada pegawai penyiasat.

"Pada pendapat saya adalah memadai untuk mendapat tahu cerita dan gambaran daripada pegawai penyiasat.

"Saya ada tanya pegawai penyiasat, saya diberitahu bahawa si mati telah habis disoal siasat pada sekitar 3.30 pagi, dan boleh dibebaskan tetapi kemudian dia tidur di sofa.

"Saya juga diberitahu pada lebih kurang pukul 5 ke 5.30 pagi si mati dilihat mundar-mandir dalam pejabat itu," kata Dr Khairul Azman.

Beliau kemudian ditanya sama ada pernah mengendalikan keskes membabitkan mangsa yang mati didera semasa berada dalam tahanan polis.

Soalan itu dibantah peguam Tan Hock Chuan, bagi pihak kerajaan dengan alasan ia tidak adil untuk dikemukakan kerana mangsa dalam kes ini tidak ditahan dan berada dalam tahanan polis.

Dr Khairul Azman kemudian disoal mengenai kandungan perut Teoh, dan saksi itu menjelaskan: "Tiada kandungan bahan makanan yang ditemui dalam perut si mati."

Beliau berkata ini menunjukkan kali terakhir Teoh makan ialah kira-kira empat jam sebelum kematiannya.

"Saya diberitahu oleh pihak polis, si mati ada diberi air minuman antara pukul 5 ke 5.30 pagi itu."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain