suria

Ketua Pengarah Imigresen diberi kuasa lulus visa pekerja - Saksi

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don di Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar yang bertanggungjawab meluluskan visa dengan rujukan pekerja Bangladesh telah menyerahkan kuasa itu kepada Ketua Pengarah Imigresen mulai Jun 2008.

Muhammad Hanif Asa'ari, 32, bekas Pegawai Khas kepada Syed Hamid, berkata menteri berkenaan memutuskan perkara itu kerana tidak mahu lagi meluluskan perkara itu dengan alasan beliau (Syed Hamid) terpaksa meluangkan masa untuk membuat keputusan secara online bagi setiap permohonan.

"Selepas beliau buat keputusan tidak mahu buat, beliau ada arahkan melalui mesyuarat pasca (kabinet) supaya tugas meluluskan permohonan secara online diserahkan pada Ketua Pengarah Imigresen," kata saksi ketiga pendakwaan itu.

Susulan itu, katanya, Wahid telah membuat satu permohonan pada 10 Jun 2008 untuk mendapatkan kata laluan bagi meluluskan permohonan, dan pada keesokannya, Syed Hamid menyatakan persetujuannya menerusi sepucuk surat tetapi ianya bersyarat.

"Menteri bersetuju dengan permohonan itu (Wahid) bagaimanapun kata laluan Menteri tidak perlu dibatalkan dan di masa yang sama Ketua Pengarah Imigresen perlu membentangkan laporan mingguan dan bulanan kepada beliau," kata Muhammad Hanif sambil merujuk kepada sepucuk surat yang bertarikh 11 Jun 2008.

Surat itu juga menyatakan persetujuan supaya kelulusan dibuat di peringkat Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Jazamuddin Mohd Nawawi ketika pemeriksaan utama apakah alasan yang digunakan oleh Wahid untuk memohon kebenaran itu, Muhammad Hanif berkata : "Yang dinyatakan ialah jumlah pekerja asing Bangladesh yang menunggu kelulusan VDR tersebut agak tinggi iaitu seramai 22,854 pekerja dan dijangka 91,607 masih belum mengemukakan permohonan."

Pada 19 Ogos tahun lepas, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh .

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai 2008. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi. Kepada soalan peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Wahid sama ada beliau mengetahui mengapa Wahid mengemukakan permohonan kebenaran menteri, Muhammad Hanif berkata: "Secara am pada masa itu memang timbul isu yang mana menteri tidak lagi mampu untuk luluskan permohonan VDR tersebut memandangkan beliau mempunyai banyak tugas lain dan beliau juga ada, dalam beberapa keadaan di pejabat, membayangkan untuk menyerahkan tugas tersebut kepada Ketua Pengarah Imigresen."

Kepada cadangan Sithambaram bahawa apa yang diberitahu di dalam mesyuarat bahawa 'semua permohonan untuk dapatkan VDR akan diproses di peringkat Ketua Pengarah Imigresen sahaja' adalah tidak tepat, Muhammad Hanif berkata jika berdasarkan minit itu ia adalah betul.

Bagaimanapun beliau bersetuju bahawa keputusan menteri yang masih menyimpan kata laluan kerana ingin terus meluluskan VDR pada bila-bila masa adalah bercanggah dengan apa yang diputuskan dalam mesyuarat.

Muhammad Hanif berkata ketika beliau masih bertugas iaitu dari 12 Jun hingga 17 Jun 2008 dan 12 Jun hingga 12 Julai 2008, Syed Hamid ada meluluskan VDR beberapa pekerja asing tetapi tidak mengetahui jumlahnya. Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin disambung pada Rabu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain