suria

Kerajaan kaji jadikan penutup mulut dan hidung barang kawalan - Muhyiddin

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menjadikan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan bagi tempoh tertentu jika pembekal menaikkan harga barangan itu sewenang-wengangnya.

Beliau berkata kerajaan mendapati penutup mulut dan hidung kini dijual dengan harga yang mahal berikutan permintaan tinggi ketika penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

"Kalau harga 40 sen dinaikkan kepada RM5, ini namanya mencekik darah. Kalau harga daripada 30 sen naik sehingga 60 sen masih boleh kita terima," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di Jalan Berapit di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata jika penutup mulut dan hidung itu diwartakan sebagai barang kawalan, pembekal perlu mendapatkan lesen untuk menjual barangan itu.

"Kalau sudah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946, tindakan boleh diambil kepada pembekal yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Siapa yang nak berniaga kena minta lesen untuk tempoh setahun selepas wabak itu dan jika wabak itu sudah dapat dikawal, lesen tersebut boleh dihantar balik," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang turut berada di pusat penamaan calon itu, menyambut baik cadangan menjadikan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan terutamanya ketika negara menghadapi wabak itu.

"Topeng muka (penutup mulut dan hidung) itu perkara penting untuk mengawal wabak daripada merebak. Siapa yang ada simptom influenza itu wajib pakai topeng mulut (penutup mulut dan hidung)," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) untuk memastikan perkara itu dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain