suria

Bukit Aman ambil keterangan kakitangan pejabat dua exco Selangor

SHAH ALAM: Polis dari kontinjen Bukit Aman telah mengambil kenyataan bertulis daripada kakitangan yang bertugas di pejabat dua Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu dan Ean Yong Hian Wah berhubung dakwaan yang mengaitkan pejabat exco kerajaan negeri itu dengan kumpulan kongsi gelap.

Pihak media difahamkan, pegawai-pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan telah mengambil keterangan daripada kakitangan pejabat berkenaan selama lebih dua jam.

Isu mengenai dakwaan ini timbul ekoran pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dalam laman blognya baru-baru ini kononnya pejabat exco kerajaan negeri Selangor mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap.

Bagaimanapun Wee dalam dakwaannya itu tidak menamakan pejabat anggota exco manakah yang dikaitkan dengan kegiatan tersebut.

Jumaat lepas, Wee telahpun dipanggil oleh Kontinjen Polis Selangor untuk merekodkan kenyataannya berkaitan dakwaan yang dibuatnya itu.

Wee kemudiannya memberitahu pemberita yang beliau telah menyatakan kepada polis nama exco kerajaan negeri yang terlibat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain