suria

UPP patahkan cubaan seludup diesel

KANGAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mematahkan cubaan menyeludup diesel ke Thailand apabila menahan sebuah lori tangki berhampiran sebuah pelantar pendaratan ikan di Kuala Perlis awal pagi ini.

Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata, rampasan dilakukan oleh pasukan UPP kawasa Kuala Perlis yang sedang meronda dan terserempak dengan sebuah lori tangki yang mencurigakan di pelantar ikan terbabit pada pukul 3.30 pagi.

Semasa disiasat pasukan itu mendapati seorang lelaki sedang mengisi minyak yang disalurkan daripada sebuah tangki ke lori tangki itu.

Katanya, siasatan lanjut mendapati terdapat 2,500 liter diesel bersubsidi yang bernilai kira-kira RM4,250 dalam tangki lori itu.

Ekoran rampasan itu, UPP turut menahan pemandu kenderaan itu, seorang penduduk tempatan berusia 45 tahun untuk siasatan lanjut setelah lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen.

Zakaria yang ditemui di Kuala Perlis hari ini berkata, beliau percaya bekalan minyak diesel subsidi itu dikumpul secara kecil-kecilan daripada para nelayan tempatan sebelum diseludup ke negara jiran.

"Kita percaya aktiviti ini baru sahaja dilakukan berdasarkan risikan yang dilakukan oleh UPP," katanya.

Zakaria berkata diesal itu telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain