suria

Setiausaha politik perjelaskan isu penerbangan Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Tempahan tiket penerbangan oleh Kementerian Pengangkutan bagi menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat, dalam juga kapasitinya, biasanya dibuat dengan Malaysia Airlines, AirAsia atau Firefly.

Setiausaha politiknya, Simon Lim, berkata pada keadaan tertentu sahaja apabila penerbangan yang diambil bukan untuk tujuan rasmi maka menteri berkenaan akan membayar tambang sendiri.

Katanya Ong sentiasa komited kepada prinsip integriti dan urusan tadbir yang baik.

"Misalnya, kepala surat peribadi digunakan untuk urusan yang tidak berkaitan dengan hal ehwal kementerian," kata Lim dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa menteri berkenaan gagal membayar perkhidmatan penerbangan ketika menaiki pesawat khas persendirian syarikat Wijaya Baru Aviation Sdn Bhd pada Februari dan Mac lepas.

Lim berkata sehingga ini, Ong atau pejabatnya tidak menerima sebarang kenyataan atau invois menuntut bayaran dari syarikat tersebut.

"Saya harap penjelasan ini akan menghentikan spekulasi bahaya ini berkaitan dengan pembayaran khususnya perkhidmatan penerbangan untuk menteri pengangkutan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain