suria

Semua Bahagian Umno Pahang lulus usul pindaan perlembagaan parti

BENTONG: Kesemua 14 bahagian Umno di Pahang, yang selesai mengadakan persidangan perwakilannya, bersetuju meluluskan usul pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan pucuk pimpinan pada perhimpunan agung parti Oktober ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata semua bahagian di Pahang juga menyerahkan kepada pucuk pimpinan bagi memutuskan sama ada 60,000 anggota di peringkat bahagian atau 3.4 juta anggotanya diberikan hak untuk memilih.

"Cadangan pindaan perlembagaan parti itu mudah (diterima) cuma kita kena bincang sama ada nak lebih kurang 60,000 ahli memilih atau nakkan semua 3.4 juta ahli Umno (berbanding hanya 2,500 perwakilan sebelum ini)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini, hari ini.

Adnan, yang juga Menteri Besar Pahang, berkata pindaan terbabit perlu dalam usaha parti itu bersih daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Umno Bahagian Temerloh yang selesai mengadakan mesyuarat perwakilan semalam tidak bersetuju dengan cadangan supaya wakil badan bukan kerajaan (NGO) dijemput sebagai perwakilan pada perhimpunan agung parti.

"Saya sendiri berpendapat elok wakil-wakil NGO Melayu seperti persatuan mahasiswa dijadikan ahli bersekutu dan mereka boleh menghantar wakil... mereka tidak mengundi, tapi boleh bersuara," katanya.

Mengenai perjalanan persidangan perwakilan di negeri itu, Adnan berkata ia berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kelemahan di beberapa mesyuarat peringkat cawangan yang menyaksikan kekurangan anggota.

Sementara itu, 220 perwakilan Umno Bentong meluluskan usul menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa dan agama. BERNAMA

Artikel Lain