suria

Pengagihan kerusi BN perlu dikaji semula - Khaled

KUALA LUMPUR: Pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang diwakili parti komponen Barisan Nasional (BN) di sesuatu kawasan wajar dikaji semula, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia boleh ditentukan mengikut kehendak penduduk setempat dalam usaha menarik lebih ramai pengundi mengundi BN pada pilihan raya akan datang, katanya.

Amalan sekarang di mana BN menetapkan calon bagi kerusi di sesuatu kawasan itu dipilih dari parti yang sama setiap kali pilihan raya perlu dilihat semula, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Anggota Parlimen Pasir Gudang berkata, perbincangan melalui BN perlu diadakan untuk menentukan faktor yang boleh menyumbang kepada kejayaan BN berdasarkan sikap dan pendirian pengundi setempat.

"Justeru sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, amalan pembahagian kerusi mengikut tradisi tidak diamalkan sekiranya amalan sedemikian tidak boleh memenangkan parti," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmian, Khaled berkata kepimpinan Umno di semua peringkat perlu memahami dan menginsafi keadaan Umno hari ini kesan daripada pilihan raya umum yang lepas dan mencari jalan untuk menyediakan Umno agar berada pada landasan yang betul.

Menurutnya, jika kepimpinan mengambil jalan mudah dan ringan, Umno tidak mungkin dapat keluar daripada masalah mahupun memperbaiki kelemahan yang sedang dihadapi.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika Umno ingin berjaya, apa sahaja program dan dasar yang telah diputuskan perlu diterjemah dan didukung bersama di semua peringkat parti ini kerana dasar tanpa amal tidak akan membantu mencapai matlamatnya.

Beliau juga mencadangkan kepada setiap anggota Umno agar merapati pengundi terutama pengundi muda menggunakan kaedah komunikasi terkini dalam bidang teknologi maklumat seperti menerusi "Facebook".

"Kenapa kita tengok di perhimpunan anjuran pembangkang, tidak ramai orang yang hadir tetapi mereka tetap menang. Ini kerana mereka menggunakan gelanggang lain di laman "facebook" untuk mempengaruhi orang ramai," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar anggota parti tidak hanya memikirkan untuk menggerakkan kawasan masing-masing tetapi perlu juga berkongsi pengalaman dan ilmu dengan rakan parti di kawasan lain supaya dapat belajar dan membuat perbandingan amalan antara satu dengan yang lain. BERNAMA

Artikel Lain