suria

Kanak-kanak istimewa antara 3 korban terbaru H1N1

SERDANG: Seorang kanak-kanak istimewa berumur enam tahun yang mengidap Sindrom Down merupakan salah seorang daripada tiga korban terbaru Influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 62 orang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dengan tiga kematian terbaru itu menjadikan 283 kes baru dan sejumlah 3,857 kes disahkan positif H1N1 setakat ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu yang juga menghidap penyakit jantungberlubang mengalami penyakit meninggal dunia Khamis lalu dan dimasukkan ke hospital pada 9 Ogos setelah dua hari mengalami simptom H1N1.

Beliau berkata seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun turut menjadi korban H1N1 setelah dimasukkan ke hospital pada 1 Ogos selepas mengalami demam dan batuk selama lima hari dengan kesukaran bernafas.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia pada Jumaat disebabkan "pneumonia yang teruk", katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Sihat sepanjang Hayat Kawasan Serdang, Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Serdang Baru 1 di sini.

Liow berkata korban terbaru yang ketiga ialah seorang lelaki berusia 50 tahun yang meninggal dunia pada Jumaat setelah dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos kerana mengalami demam, batuk, cirit birit, muntah dan sukar bernafas.

Katanya lelaki itu meninggal dunia disebabkan oleh "septisemia dengan pneumonia yang teruk".

Liow berkata sehingga kini terdapat 283 kes baru dengan 213 pesakit sedang dirawat di wad biasa dan 33 lagi di rawat di Unit Rawatan Rapi di mana 16 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (tujuh) asma (tiga), obesiti (dua), kecacatan otak (dua), hamil (satu) dan peringkat selepas bersalin (satu).

Liow berkata kementeriannya mendapati masih ramai pesakit yang mengalami simptom H1N1 tidak memberikan kerjasama yanng baik dalam mengawal penularan penyakit itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mempunyai simptom H1N1 serta mengingatkan para doktor supaya tidak menangguhkan pemberian antiviral kepada pesakit.

Katanya di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, setiap orang yang mengetahui penyakit yang boleh merebak kepada orang awam, dan sengaja tidak mengendahkan larangan dikuarantin sehingga menyebabkan orang lain dijangkiti akan didenda RM2,000 atau dikenakan penalti maksimum sehingga RM10,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Lain