suria

Perlembagaan negeri Perak dirujuk 3 kali di sidang akhbar Karpal - Saksi

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh merujuk tiga kali kepada artikel 63 dan 64 Perlembagaan Negeri Perak tentang pilihan yang ada pada Sultan untuk menyelesaikan krisis politik negeri, Mahkamah Tinggi diberitahu Jumaat.

Pemberita RTM Eliani Mazlan, 26, berkata Karpal juga membekalkan salinan dua keputusan Mahkamah Persekutuan kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya pada 6 Feb.

Eliani, berkata walaupun beliau tidak faham sepenuhnya apakah isunya bila Karpal menyebut sebagai contoh undang-undang kes dalam menjelaskan pilihan untuk Sultan, tetapi pada umumnya Karpal menekankan bahawa Sultan tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan politik negeri, jelas Eliani.

Disoalbalas oleh peguam bela Jagdeep Singh Deo, mengenai berapa lama beliau telah berkhidmat di meja berita RTM ketika beliau menghadiri sidang akhbar itu, beliau menjawab khidmatnya masuk bulan kedua.

Eliani juga mengakui beliau tidak mengemukakan sebarang soalan kepada Karpal.

Eliani juga bersetuju bahawa Karpal tidak memaksakan pandangannya ke atas Sultan tetapi setakat melahirkan pendapatnya tentang pilihan yang ada pada Sultan dalam menangani krisis berkenaan.

Karpal, 69, yang juga pengerusi kebangasaan DAP, dikatakan telah membuat kenyataan menghasut mengenai Sultan Perak pada sidang akhbar di pejabatnya, Messrs Karpal Singh & Co, di Jalan Pudu Lama di sini antara 12.00 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb.

Jagdeep: Anda tidak mengemukakan sebarang soalan kerana anda tidak pasti apakah isunya?

Eliani: Tidak setuju.

Jagdeep: Jika saya rujuk kepada anda undang-undang kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang diberikan kepada anda pada hari itu, boleh anda faham?

Eliani: Belum tahu.

Jagdeep: Ertinya anda tidak faham apa yang telah disebut di sidang akbhar itu?

Eliani: Tidak pasti.

Jagdeep: Anda setuju bahawa Karpal tenang semasa penjelasannya?

Eliani: Ya

Jagdeep: Anda faham apa makna "ultra vires"?

Eliani: Tak pasti.

Jagdeep: Apakah pemahaman awak tentang perkataan itu?

Eliani: Tindakan di luar peruntukan undang-undang.

Jagdeep: Anda tahu Karpal dari parti politik mana?

Eliani: Tidak tahu.

Jagdeep: Anda setuju bahawa transkrip 10 muka yang dikemukakan di mahkamah semalam tidak tepat, kerana beberapa perkataan telah hilang?

Eliani: Setuju.

Disoal semula oleh timbalan pendakwa raya Datuk Kamaluddin Md Said, Eliani berkata beliau tidak faham dua undang-undang kes yang disebut oleh Karpal di sidang akhbar walaupun beliau dapat memahami apakah isu utama yang Karpal cuba tonjolkan pada hari itu.

Beliau juga menjelaskan rakaman video sidang akhbar selama 37 minit yang dilihat oleh mahkamah semalam tidak disunting seperti dikatakan oleh pihak pembelaan.

"Sebenarnya visualnya tidak disunting, beberapa 'lompang' dalam rakaman sebagaimana dirujuk oleh peguam bela sebenarnya berlaku bila jurugambar mengubah kedudukan kameranya," jelas Eliani.

Pendengaran di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah bersambung Selasa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain