suria

Pendedahan lokasi panas H1N1 tidak praktikal - Muhyiddin

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendedahan lokasi panas influenza A (H1N1) dilihat sebagai tidak praktikal kerana langkah sedemikian akan menimbulkan pelbagai implikasi.

Katanya semalam beliau telah berbincang dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung perkara itu dan memutuskan sukar mengklasifikasikan mana-mana kawasan di negara ini sebagai lokasi panas H1N1 memandangkan wabak itu telah merebak merentasi sempadan.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Kesihatan, ada pelbagai pandangan dalam soal ini, (apa pun) tidak ada negara pun yang membuat pengumuman berkenaan "hot spot" H1N1," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beberapa persatuan pengguna sebelum ini dilaporkan meminta Kementerian Kesihatan mendedahkan lokasi panas H1N1 terutama yang membabitkan kematian atau kadar jangkitan yang tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.

Muhyiddin berkata tahap pengabaian terhadap penjagaan diri di kalangan rakyat juga dilihat akan lebih tinggi jika hanya beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai lokasi panas H1N1.

"Dalam soal penyakit dan virus, sukar bagi kita beritahu lokasi-lokasi panas yang ada berlaku kematian yang tinggi. Ia bukan macam jerebu yang mana kita akan lihat tompok-tompok merah berlaku kebakaran dalam peta.

"Ini soal virus yang berlaku di banyak negara lain juga. Ia telah merentasi sempadan dan bukan duduk berlegar di satu kawasan sahaja," katanya.

Selain itu, beliau berkata langkah berkenaan juga akan memberi impak negatif kepada sesuatu kawasan jika ia dikategorikan sebagai lokasi panas.

"Misalnya, jika ada kes H1N1 di Kuantan, kita tidak boleh kata jangan pergi ke Kuantan. Orang ramai yang tidak terlibat dalam lokasi panas pula, mereka akan ambil sikap mudah. Itu pun bahaya juga. Jika kita kata tidak ada apa-apa (di sesuatu kawasan), sebenarnya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama meningkatkan kebersihan diri dan mengelakkan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada H1N1.

"Kita sentiasa memberitahu kes-kes yang berlaku menerusi media, jadi jadikan panduan daripada maklumat yang disalurkan kerajaan itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah membelanjakan RM40 juta lagi untuk menambah bekalan ubat antiviral Tamiflu untuk dibekalkan kepada semua hospital kerajaan, swasta dan klinik.

"Kita minta bekalan antiviral Tamiflu ditambah lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus di semua hospital dan klinik. Kita juga telah membelanjakan sebanyak RM3 juta untuk mengedar penutup mulut kepada pelajar sekolah di seluruh negara," katanya.

Beliau juga telah mengarahkan Kementerian Kesihatan menyusun semula waktu menunggu bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di semua hospital kerajaan sejak kes H1N1 semakin serius akhir-akhir ini.

"Misalnya, jika yang datang ke hospital 100 orang, 20 orang tenat, jururawat boleh buat ujian awal dan asingkan mereka yang tenat. Mereka ini mesti diberi layanan utama bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah buruk," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain