suria

PDRM tiada maklumat penyaluran dana kepada Noordin Mat Top

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum mempunyai maklumat kononnya dana daripada beberapa negara termasuk Malaysia disalurkan kepada Noordin Mat Top, pengebom berani mati yang amat dikehendaki polis Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata PDRM belum mendapat sebarang maklumat dari Polis Indonesia berhubung penyaluran dana itu seperti yang didakwa seorang penganalisis jenayah di Indonesia.

"Belum ada maklumat berhubung dana itu dan kalau ada kita akan siasat bersama. Kita masih menunggu jika ada sebarang maklumat berhubung perkara itu dari rakan sejawat kita di sana (Indonesia)," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan, di sini hari ini.

Seramai 281 pelatih menamatkan program latihan selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Dilaporkan seorang penganalisis jenayah Indonesia telah mendakwa Noordin memperolehi dana bagi membiayai kegiatannya dari beberapa negara jiran termasuk Malaysia. Musa berkata PDRM sentiasa memberi kerjasama penuh kepada Polis Indonesia dari segi pertukaran maklumat untuk mengesan Noordin, pengganas yang berasal dari Malaysia yang disahkan oleh Indonesia sebagai dalang kepada dua pengeboman Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di Jakarta pada 17 Julai lalu.

Musa berkata PDRM sentiasa berhubung dengan keluarga Noordin di Johor bagi mengesannya.

Noordin dilaporkan masih hidup selepas gerakan memburu pengganas berikutan peristiwa pengeboman dua hotel mewah itu dilakukan oleh polis Indonesia.

Musa juga berkata PDRM tidak menerima sebarang maklumat berhubung ketua kumpulan puak pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam Sri Lanka yang baru, Selvarasa Pathmanathan yang didakwa berada di Malaysia.

"Saya tidak tahu, yang saya tahu dia berjalan ke merata tempat sama ada di Malaysia, Thailand atau di mana-mana sahaja dan difahamkan dia menggunakan pasport palsu. Di mana dia ditahan saya tak tahu tapi yang saya tahu dia berada di Sri Lanka," katanya.

Mengenai keengganan Wong Chuan How, 50, pembantu Exco Selangor Ronnie Liu memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam untuk disasat, Musa berkata polis telah menerima laporan SPRM dan akan menjalankan siasatan.

"SPRM mengikut peraturan undang-undang dan ada waran. Tetapi jika mereka ingkar waran dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, kita akan siasat serta mengambil tindakan," katanya.

Wong disiasat SPRM berhubung dakwaan salah guna peruntukan Dewan Undangan Negeri membabitkan 234 projek yang bernilai hampir RM500,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain