suria

Pakar forensik: Tiada tanda Teoh diheret

SHAH ALAM: Hasil bedah siasat ke atas mayat Setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jelas si mati diheret.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pakar Perunding Kanan, Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim semasa memberi keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas pada prosiding inkues kematian Teoh semalam.

Kenyataannya itu sekali gus menolak teori yang dikemukakan saksi ke-13 semalam iaitu Pegawai Penyiasat Tempat Kejadian dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Cif Insp Mazli Jusoh yang mengatakan Teoh mungkin diheret kerana siasatan polis menunjukkan adanya kesan geseran di bahagian tepi kasut mendiang.

Mazli berkata, hasil pemeriksaannya turut mendapati ada kesan geseran yang ketara di tapak kasut kanan mangsa.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Dr. Khairul berkata, kenyataannya itu berdasarkan pemeriksaannya yang mendapati kesan geseran yang terdapat pada kasut kanan si mati mempunyai kesamaan dengan kesan yang terdapat pada lantai berhampiran mayatnya ditemui.

"Pada pendapat saya tidak nampak tanda yang jelas menunjukkan si mati diseret, tapi saya nampak kesan geseran pada kasut kanan si mati yang terdapat pada tapak kaki dan di tempat mayat ditemui juga ada kesan geseran.

"Bila saya tengok seperti ada kesesuaian, dari itu kita percaya kesan geseran pada tapak kasut si mati dan pada lantai mayat si mati adalah tempat si mati mendarat semasa dia terjatuh.

"Dari kedudukan tepi saya berpendapat si mati jatuh dalam keadaan condong sikit ke kanan, kaki sampai dahulu diikuti punggung dan betis hampir serentak dan kemungkinan bengkok sedikit menghimpit dada serta kakinya mungkin melantun sedikit selepas jatuh," kata Dr. Khairul semasa memberi keterangan.

Dr. Khairul merupakan saksi ke-10 inkues tampil menyambung keterangannya hari ini selepas diberi pengecualian selama dua hari kerana menghadapi masalah kesihatan.

Malah tambah Dr. Khairul hasil pemeriksaannya di tingkat 14 yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut tidak menemui sebarang tanda-tanda si mati diheret.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaannegeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Menjawab soalan peguam pihak kerajaan, Tan Hock Chuan berhubung profil DNA yang tidak dikenali pada tali pinggang dan bahagian belakang jaket yang dipakai si mati, Dr. Khairul berkata, ia mungkin berlaku akibat kontaminasi.

"Kami juga tertanya-tanya dari mana datangnya DNA yang tidak dikenali itu, tapi berdasarkan laporan DNA yang dibekalkan tak ada yang sama.

"Jadi saya percaya ia (DNA) datang dari kontaminasi semasa menanggalkan baju si mati di bilik mayat," katanya.

Kemudian, peguam pihak kerajaan, Tan Hock Chuan ingin mendapatkan kepastian lanjut sama ada proses kontaminasi boleh berlaku semasa mayat dibawa ke bilik mayat.

"Pada pendapat kamu bila sesuatu mayat dibawa dengan berbaju, ada kemungkinan berlaku kontaminasi?" soal Tan.

Kemudian Dr. Khairul menjawab: "Masa letak mayat tak ada, tapi masa menanggalkan baju mungkin ada.

Artikel Sebelum

Artikel Lain