suria

Perebutan jawatan selesai, Umno yakin rampas negeri tewas

LANGKAWI: Umno yakin masalah perebutan jawatan dan pertelingkahan yang menyebabkan Umno berpecah dan berpuak-puak yang hampir pulih, meyakinkan usaha merampas kembali negeri-negeri dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan berhasil.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata anggota parti di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara sedang menuju landasan betul dengan mengetepikan perbalahan sesama mereka.

"Senario politik semasa menyaksikan bangsa Melayu dan Islam dihina pembangkang telah membangkitkan satu semangat yang menyedarkan mereka apabila kehilangan kuasa."

"Umno sanggup menggadai nyawa mempertahankan agama suci Islam dan umat Melayu," katanya yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Langkawi di sini, hari ini.

Beliau berkata kelebihan berada dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana pembangkang gagal melaksanakan pembangunan dan lebih banyak menghasut daripada mementingkan kesejahteraan dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Shafie yang juga Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar menasihatkan anggota umno supaya kembali bersatu agar masa depan anak-anak Melayu terjamin dan mereka tidak akan merempat di tanahair sendiri suatu hari nanti.

Mengenai Kedah, beliau mahu anggota Umno meningkatkan gerak kerja dan mengikut contoh perjuangan Nabi Muhammad S.A.W yang berjuang menegakkan agama Islam tanpa mengira penat lelah.

"Saya berjanji melakukan yang terbaik tetapi tidak boleh melakukannya seorang diri tanpa sokongan saudara-suadara. Bantu saya untuk rampas kembali Kedah kerana saya yakin kita belum terlambat," tambahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu beliau berkata walaupun terdapat perkembangan positif dalam hubungan anggota yang bertelingkah di peringkat bahagian, masih ada ruang dan masa untuk membuat penambahbaikan bagi menguatkan parti.

Sebagai contoh mereka kini lebih mengutamakan perpaduan berhubung isu perebutan jawatan dan ini adalah petanda baik kepada pengukuhan parti, katanya.

Mohd Shafie tidak menafikan terdapat pergeseran berikutan perebutan jawatan di beberapa bahagian di Kedah tetapi keadaannya bertambah baik dan yakin usaha yang dilakukan akan membuahkan hasil tidak lama lagi. BERNAMA

Artikel Lain