suria

Lima termasuk Elizabeth Wong beri kenyataan pada inkuiri awam

KUALA LUMPUR: Lima saksi termasuk Exco Selangor Elizabeth Wong memberikan kenyataan pada inkuiri awam berhubung penahanan lima peguam Bantuan Biro Guaman Kuala Lumpur pada 7 Mei.

Inkuiri itu yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu dua pesuruhjaya iaitu Datuk Dr Micheal Yeoh Onn Kheng dan Datuk Dr Denison Jayasooria, dijadual memanggil 11 saksi hari ini.

Bagaimanapun, ia hanya dapat merekodkan kenyataan daripada lima saksi.

Inkuiri itu bagi menentukan, antara lain sama ada penangkapan dan penahanan lima peguam itu di Balai Polis Brickfields telah menyebabkan penafian representasi undang-undang dan pelanggaran Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Acara Jenayah dan dengan itu telah mencabuli hak asasi manusia.

Inkuiri itu juga bagi menentukan sama ada terdapat sebarang justifikasi atau keperluan untuk menangkap dan menahan peguam berkenaan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Sekiranya berlaku pencabulan hak asasi manusia, inkuiri awam itu bertanggungjawab untuk mengenal pasti individu atau agensi yang bertanggungjawab dan bagaimana pencabulan itu berlaku.

Inkuiri itu juga bagi menentukan apakah arahan dan peraturan pentadbiran yang menjadi penyebabnya dan apakah langkah untuk dicadangkan bagi memastikan pencabulan seumpama itu tidak berulang.

Saksi pertama yang memberikan kenyataan ialah Ginie Lim Siew Ling, 28, seorang aktivis yang ditahan semasa upacara menyalakan lilin di luar balai polis Brickfields.

Lim, yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan kerajaan negeri Selangor berkata beliau menghadiri upacara menyalakan lilin itu yang dianjurkan sebagai sokongan kepada aktivis Bersih, Wong Chin Huat yang telah menggesa orang ramai memakai pakaian serba hitam sebagai bantahan terhadap krisis politik di Perak.

Katanya kira-kira 14 orang ditahan polis pada 9.30 malam selepas mereka gagal mematuhi arahan pihak berkuasa supaya bersurai.

"Saya segera menghantar SMS kepada seorang rakan saya yang merupakan seorang peguam memintanya membantu kami," katanya.

Kira-kira pukul 10 malam, Lim yang telah dipisahkan daripada kumpulan yang lebih besar dan ditempatkan dalam stor di balai polis itu, berkata beliau dimaklumkan oleh rakannya bahawa peguam berkenaan berada di luar balai polis tetapi tidak dibenarkan berjumpanya.

Permintaannya untuk berjumpa mereka tidak dilayan dan apabila beliau sudah tidak sanggup menghadapi semua itu lagi, pada kira-kira pukul 11 malam, beliau menjerit bagi mendapatkan perhatian polis.

"Seorang daripada mereka datang kepada saya dan beritahu saya "kamu jerit-jerit pun tak guna, peguam pun dah kena tangkap. Saya sungguh terkejut kerana saya tidak menjangkakan itu," katanya.

Kemudiannya, Lim berkata beliau diminta menandatangani borang penepian tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana berdasarkan pengalaman lepas beliau tahu dengan menandatanganinya, ia bermakna beliau melepaskan haknya untuk diwakili peguam.

Beliau bertemu empat peguam wanita semasa beliau diarah masuk ke dalam trak untuk dibawa ke balai polis Travers dan mereka bermalam dalam sel bersebelahan dalam lokap balai itu.

Wong, 39, dalam keterangannya berkata beliau telah pergi ke balai polis Brickfields selepas dimaklumkan dua pekerjanya ditahan kerana menghadiri upacara menyalakan lilin.

Beliau nampak peguam berkenaan sedang bertikam lidah dengan seorang pegawai tinggi polis dan cuba membantu mereka untuk berjumpa dengan anak guam mereka tetapi gagal.

Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk beredar dari balai polis itu selepas Ketua Polis Daerah keluar dan memberi amaran bahawa sesiapa yang gagal bersurau akan ditahan.

"Tetapi saya tidak pernah terfikir yang mereka akan menahan peguam berkenaan kerana mereka sedang menjalankan tugas. Polis tidak profesional dalam menjalankan tugas terutama berkaitan peguam berkenaan," katanya.

Saksi lain yang turut memberikan keterangan ialah wartawan Teh Yee Keong, 24 dan dua pelajar Neow Ti Hooi, 23, dan Gan Zhi Jie, 22.

Inkuiri itu yang diadakan di Bilik Inkuiri Suhakam di Tingkat 29, Menara Tun Razak di sini disambung esok. BERNAMA

Artikel Lain