suria

Gobind sangkal teori pakar forensik Teoh mungkin bunuh diri

SHAH ALAM: Situasi inkues kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock tegang apabila peguam pemerhati keluarga mendiang, Gobind Singh Deo menyangkal teori bahawa Teoh membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 Plaza Masalam di sini.

Malah Gobind dengan lantang mendakwa teori yang dikemukakan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim itu tidak berasas kerana tidak disertakan dengan bukti-bukti kukuh.

Gobind mendakwa teori Teoh membunuh diri tidak boleh diterima kerana tiada kesan yang menunjukkan si mati berdiri sebelum terjun melalui tingkap dari tingkat 14.

Gobind bertanya: "Adakah terdapat kesan cap jari atau kesan tapak kasut di bingkai tingkap di mana Teoh dipercayai jatuh?"

Dr. Khairul bagaimanapuan berkata beliau tidak nampak kesan-kesan tersebut.

"Mungkin ada, tapi tak nampak. Saya ada periksa tapi tak nampak. Kesan tapak kasut sukar ditemui di sekitar kawasan tingkap itu kerana tempat itu berkarpet," katanya.

Dr. Khairul kemudiannya bangun dari kandang saksi dan menunjukkan kepada mahkamah demonstrasi gambaran cara Teoh keluar daripada tingkap sebelum terjun ke koridor tingkat 5.

Semasa demonstrasinya itu, Dr. Khairul pada mulanya duduk di atas pagar kandang saksi yang diibaratkan sebagai bahu tingkap.

Beliau kemudian mengalihkan kaki kanannya ke arah luar pagar kandang itu dan diikuti dengan kaki kiri, pada ketika itu kedudukan badannya sudah menghadap keluar dan kedua-dua tangannya menyentuh pagar berkenaan.

Selepas menunjukkan demonstrasi tersebut, Gobind lantas meminta Dr. Khairul kekal dengan kedudukannya dengan duduk di atas pagar yang diibaratkan sebagai bahu tingkap tersebut.

"Baiklah...jika ini caranya, cuba lihat di mana tangan doktor sekarang, memegang bingkaikan?

"Jika ini caranya sudah pasti ada kesan cap jari di bingkai tingkap di tingkat 14 doktor, tapi kesan cap jari pun tiada, ada doktor nampak kesan cap jari?" soal Gobind dengan penuh emos.

Dr. Khairul kemudiannya menjawab: "Tiada, cap jari perlu dikesan dengan menggunakan peralatan yang sesuai, makmal saya tidak ada peralatan itu."

"Tapi bukankah doktor boleh arahkan pihak polis untuk jalankan ujian pengesanan cap jari di situ?" soal Gobind lagi dan saksi itu mengakui tidak mengarahkan ujian cap jari dilakukan.

Gobind terus mengasak Dr. Khairul dengan berkata: "Doktor sebenarnya memang tidak ada kesan cap jari atau kesan tapak kasut di bingkai tingkap berkenaan.

"Mahkamah telah dimaklumkan sebelum ini oleh pakar polis forensik bahawa tidak terdapat sebarang kesan-kesan cap jari di situ...memang tidak ada.

"Jadi sekarang saya katakan kepada doktor bahawa teori doktor adalah salah...ini bukanlah kes si mati terjun atau membunuh diri kerana tidak ada kesan-kesan tapak kasut atau cap jari pada bingkai tingkap.

"Teori bunuh diri ini hanya dibuat berdasarkan fakta-fakta yang tidak wujud kerana doktor sendiri tidak melakukan pemeriksaan untuk menyokong teori ini," kata Gobind.

Bagaimanapun Dr. Khairul tetap ingin mempertahankan teorinya dengan berkata: "Saya ada jenguk ke luar tingkap dan ke bawah tapi tak nampak kesan tapak kasut di situ.

"Kalau tapak kasut itu berdebu mungkin senang untuk dilihat, tambahan pula keadaan di pejabat tersebut berkarpet."

Selain itu Gobind cuba mendapatkan persetujuan Dr. Khairul jika mungkin wujudnya unsur homisid (pembunuhan) berhubung kasut kiri si mati yang tertanggal dari kakinya semasa mayat dijumpai.

"Pada pendapat doktor adakah kemungkinan mayat dicampak dahulu, kemudian baru kasutnya dicampak?"

Dr. Khairul berkata: "Ya, ada kemungkinan. Tapi saya berpendapat, kasut itu tertanggal sebab ada impak yang kuat iaitu sepadan dengan kesan jatuh dari tempat tinggi.

"Tapi saya tak nampak apa-apa kesan, saya hanya jalankan 'visual observation' (pemerhatian secara visual)."

Bagaimanapun Dr. Khairul mengakui tidak menjalankan sebarang ujian mengesan cap jari pada kasut tersebut atas alasan tidak mempunyai kemudahan sedemikian di makmalnya di hospital terbabit.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Prosiding hari ini ditangguhkan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dr Khairul akan menyambung keterangannya Isnin depan.

Artikel Lain