suria

Buah Pala: 16 penduduk setuju pindah

PULAU PINANG: Seramai 16 dari 18 pemegang lesen pendudukan sementara (Tol) di Kampung Buah Pala bersetuju untuk berpindah dari penempatan itu menjelang 1 September ini.

Setiausaha persatuan penduduknya, J. Stephen berkata penduduk itu telah memberi persetujuan kepada bailif mahkamah yang bertanggungjawab terhadap perpindahan mereka.

"Kami sedang berusaha untuk mendapat dula lagi pemegang Tol untuk menandatangani surat pemberitahuan bahawa mereka akan turut berpindah menjelang tarikh akhir 1 Sept," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata penduduk masih tidak berputus asa untuk terus tinggal di kampung tersebut dan masih mengharap bantuan kerajaan negeri.

Turut dilaporkan kelmarin, lima pemegang Tol turut menerima tawaran pemberian rumah dua tingkat daripada pemaju Nusmetro Venture Sdn Bhd untuk mereka berpindah. Namun penasihat undang-undang persatuan penduduk, Darshan Singh Khaira memberi amaran penduduk akan hilang segala-galanya sekiranya mereka menandatangani surat perjanjian tersebut.

Kerja meroboh kampung tersebut terhenti semalam apabila penduduk membentuk perisai manusia dari menghalang kerja-kerja meroboh, yang akhirnya membawa kepada persetujuan untuk berpindah menjelang 1 Sept.

Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan penduduk yang mendiami kawasan seluas 2.6 hektar kampung itu supaya berpindah bagi memberi laluan kepada pemilik tanah Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemaju melakukan projek pembangunan di situ. BERNAMA

Artikel Lain