suria

Kerja meroboh Kampung Buah Pala ditangguh 1 September

Seorang penduduk Kampung Buah Pala cuba menghalang anggota polis dan kontraktor pemaju projek perumahan Kampung Buah Pala, Nusmetro Ventures(P) Sdn Bhd untuk membuat proses merobohkan rumah di sini, hari ini. Selepas membuat perbincangan pemaju projek bersetuju untuk memberikan tempoh sehingga 1 Sept ini untuk merobohkan rumah mereka. --foto BERNAMA.
Seorang penduduk Kampung Buah Pala cuba menghalang anggota polis dan kontraktor pemaju projek perumahan Kampung Buah Pala, Nusmetro Ventures(P) Sdn Bhd untuk membuat proses merobohkan rumah di sini, hari ini. Selepas membuat perbincangan pemaju projek bersetuju untuk memberikan tempoh sehingga 1 Sept ini untuk merobohkan rumah mereka. --foto BERNAMA.
Seorang penduduk Kampung Buah Pala cuba menghalang anggota polis dan kontraktor pemaju projek perumahan Kampung Buah Pala, Nusmetro Ventures(P) Sdn Bhd untuk membuat proses merobohkan rumah di sini, hari ini. Selepas membuat perbincangan pemaju projek bersetuju untuk memberikan tempoh sehingga 1 Sept ini untuk merobohkan rumah mereka. --foto BERNAMA.

PULAU PINANG: Penduduk Kampung Buah Pala diberi tempoh sehingga 1 September ini untuk mengosongkan rumah masing-masing sebelum rumah mereka dirobohkan.

Keputusan itu dicapai setelah rundingan diadakan bersama polis, wakil penduduk, bailif mahkamah dan pemaju Nusmestro Ventures (P) Sdn Bhd petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Azam Abdul Hamid, yang mewakili polis dalam rundingan tersebut berkata persetujuan telah dicapai dan atas permohonan wakil penduduk, tarikh itu dilanjutkan sehingga 1 September.

"Pihak pemaju telah bermurah hati atas keperimanusiaan menangguhkan kerjakerja meroboh rumah penduduk hari ini," katanya selepas rundingan tiga pihak tersebut dalam sebuah van Balai Polis Bergerak di sini hari ini.

Azam berkata penangguhan itu diberikan atas permintaan wakil penduduk untuk memberikan masa kepada mereka mencari penempatan sementara.

Katanya, wakil penduduk memberi jaminan bahawa mereka akan bekerjasama dan berpindah secara aman.

"Saya diberitahu oleh wakil penduduk bahawa kemungkinan mereka sendiri akan robohkan rumah mereka sebelum 1 Sept dan tidak ada sebarang halangan lagi untuk pemaju," katanya.

Katanya bailif mahkamah akan mendapatkan tandatangan setiap penduduk kampung berhubung jaminan tersebut.

"Saya berharap tidak akan ada mana-mana pihak, parti politik dan NGO yang akan cuba mengeruhkan atau mengambil kesempatan terhadap keputusan yang diambil ini untuk keselamatan semua," katanya.

Sebelum itu, Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C.Tharmaraj berkata kerajaan negeri telah menghampakan penduduk kampung kerana gagal menunaikan janji.

"Ketua Menteri Lim Guan Eng telah berjanji akan memfailkan permohonan menurut Seksyen 116 1(d) Kanun Tanah Negara bagi membolehkan kerajaan negeri menghalang kerja-kerja pembangunan di kawasan berkenaan tetapi lihat apa yang berlaku sekarang?," katanya.

Katanya kerajaan negeri harus memberi penjelasan mengapa sehingga sekarang permohonan itu tidak difailkan sedangkan pemaju telah membawa pekerja untuk merobohkan kampung ini.

Katanya beliau telah berusaha untuk menghubungi kesemua wakil rakyat tempatan termasuk Lim dan Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, tetapi gagal.

Sejak beberapa minggu lalu, kontroversi Kampung Buah Pala menghiasi dada akhbar berikutan keengganan penduduk di situ berpindah keluar dari kampung berkenaan walaupun Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan perintah supaya mereka mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar itu bagi membolehkan pemaju dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang membangunkan kawasan berkenaan.

Penduduk enggan berpindah selepas beberapa pemimpin pembangkang dikatakan berjanji pada kempen pilihan raya umum tahun lalu untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Dua cubaan pemaju roboh Kampung Buah Pala hari ini gagal

PULAU PINANG: Pemaju Nusmestro ventures (P) Sdn Bhd hari ini gagal dalam dua cubaan untuk meroboh 23 unit rumah di Kampung Buah Pala, Gelugor di sini setelah beberapa kali menangguhkan hasrat itu beberapa minggu lalu.

Pemaju membawa kira-kira 100 pekerja bersama sekurang-kurangnya tiga jentolak untuk merobohkan rumah-rumah itu.

Bailif Mahkamah bersama dua Pengarah Nusmetro, Garry Ho dan Thomas Chan dilihat berbincang dengan pihak polis yang berada di kawasan itu pada kira-kira pukul 9.30 pagi untuk meneruskan hasrat meroboh kediaman di situ.

Bagaimanapun, percubaan pekerja pemaju untuk memasuki kawasan itu pada kira-kira pukul 11 pagi dan 1 tengah hari dihalang oleh penduduk yang berkumpul di Jalan Kaki Bukit iaitu kira-kira 100 meter daripada laluan masuk ke kawasan itu sejak awal pagi ini sambil menjerit ke arah pekerja-pekerja berkenaan.

Keadaan di kawasan itu tegang ketika ini dan penduduk kebanyakannya wanita dan kanak-kanak masih tidak berganjak dari tempat mereka berdiri walaupun hujan turun dengan agak lebat pada sebelah pagi.

Penduduk juga dilaporkan mengumpul tahi lembu sebagai persediaan untuk bertindak balas sekiranya rumah mereka dirobohkan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat penduduk mahupun pekerja syarikat itu yang cedera.

Hampir 100 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am dan polis berada di kawasan itu untuk mengawal keadaan.

Turut kelihatan berada di situ ialah Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Azam Abdul Hamid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC 11 Wan Abdullah Tunku Said tetapi enggan mengeluarkan sebarang kenyataan ketika ini.

Sejak beberapa minggu lalu, kontroversi Kampung Buah Pala menghiasi dada akhbar berikutan keengganan penduduk di situ berpindah keluar daripada kampung berkenaan walaupun Mahkamah Persekutuan telah memerintahkan mereka mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar itu bagi membolehkan pemaju dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang membangunkan kawasan berkenaan.

Penduduk enggan berpindah selepas beberapa pemimpin pembangkang dikatakan berjanji dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu.

Kelibat pemimpin kerajaan negeri tidak kelihatan di kawasan itu pagi ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain