suria

Isu DAP hina Islam: Muhyiddin hairan pendirian Nik Aziz

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan sikap Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membiarkan segelintir pemimpin DAP menghina Islam.

Beliau berkata sebagai seorang tokoh agama dan ketua kerajaan negeri (Menteri Besar Kelantan), Nik Aziz sepatutnya mempertahankan Islam daripada dihina.

"Saya pun hairan dan takjub (berasa aneh), seorang tokoh agama (Islam) boleh menghalalkan orang lain menghina Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sikap Nik Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana beliau (Nik Aziz) berpendapat parti DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata perbuatan menghina agama sama ada Islam atau bukan Islam tidak harus dilakukan kerana ia boleh merosakkan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

"Di Malaysia ini keadaan, situasi negara yang stabil, aman kerana kita menghormati antara lain soal budaya dan agama, kita sudah lama buat, sudah hampir...tak lama lagi 52 tahun negara merdeka, satunya teras ialah menghormati agama, budaya, kaum yang ada dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata sekiranya "fatwa" Nik Aziz itu boleh diguna pakai maka akan berlaku huru hara dan akhirnya rosak Malaysia.

"Jadi saya percaya, kalau pun untuk raih sokongan, nak popular, soal Islam tidak boleh dikorban, soal maruah dan martabat agama mesti dipertahankan," katanya.

Katanya PAS bukan sebuah parti yang mempertahankan agama Islam walaupun pemimpin mereka melaungkan slogan membangun bersama Islam.

"Ini yang saya cukup bimbang pemimpin Melayu yang berkata juara pertahankan Islam tetapi dia tidak menunjukkan sikap yang bertanggungjawab, bahaya itu.

"Saya nak beri amaran kepada orang Melayu jangan dengar cakap pemimpin PAS yang cakap tidak serupa bikin, dia kata nak membangun bersama Islam tetapi dia buat halhal yang membawa kesan buruk kepada masyarakat," katanya.

Muhyiddin berkata Nik Aziz yang dikatakan tokoh agama, sepatutnya memberi amaran atau menasihati kalangan pemimpin DAP terbabit supaya jangan menghina Islam.

Beliau yang bimbang dengan kenyataan Nik Aziz itu, berkata hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan agama.

Sementara itu,di KOTA BAHARU, Majlis Veteran Umno Kelantan berpendapat kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak membantah tindakan pemimpin DAP menghina Islam sebagai tidak konsisten dan lebih kepada kepentingan politik sematamata.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rozali Isohak hari ini berkata kenyataan Nik Aziz itu berbeza dengan sebelum ini di mana Menteri Besar Kelantan itu lebih jelas memberi gambaran kepada sesiapa yang menghina Islam perlu diperangi.

"Saya pun tidak faham pegangan Tok Guru (Nik Aziz) sekarang, komen dia tidak konsisten dan ini mengelirukan serta memalukan (Islam)," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz.

Semalam, Nik Aziz dipetik sebagai berkata beliau tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Nik Aziz sebaliknya menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata keengganan PAS bekerjasama dengan Umno dalam menubuhkan kerajaan perpaduan di negara ini juga disebabkan sikap Nik Aziz yang menganggap seolaholah Umno haram di sisi PAS.

"Kalau untuk berbincang dengan Umno bagaikan haram bagi Tok Guru (Nik Aziz), tetapi dengan DAP kata apa sekalipun tidak apa," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain