suria

PAC panggil Kuala Dimensi beri keterangan

KUALA LUMPUR: Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pemaju siap guna Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal PKFZ dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata syarikat itu telah dimaklumkan untuk menghantar wakil.

"Kemungkinan juga kita akan panggil Bar Council (Majlis Peguam) untuk memberi penjelasan sama ada peguam yang sama boleh mewakili dua pihak iaitu pembeli dan penjual," katanya selepas mendengar keterangan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semasa inkuiri berhubung skandal itu di Parlimen Rabu.

Azmi berkata beliau berpuas hati dengan segala keterangan yang diberi Abdul Gani semasa inkuiri selama tiga jam setengah itu.

"Cuma dalam pelaksanaan, ada nasihat peguam negara yang tak diikuti, ada masa-masa pendapatnya juga tak diminta," katanya.

Azmi berkata jawatankuasa itu juga bertanya kepada Peguam Negara tentang kesahihan pengurusan dana oleh pihak pemaju dan berhubung tanggungjawab kerajaan seperti yang tertera dalam surat sokongan yang diberikan beberapa bekas menteri.

Esok, seorang bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan serta beberapa wakil Kementerian Kewangan dijangka memberi keterangan kepada PAC, katanya.

PKFZ, sebuah hub pengangkutan seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang mencetuskan kontroversi ekoran pendedahan kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Semalam, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Lee Hwa Beng membuat laporan polis terhadap Kuala Dimensi dan BTA Architect, berhubung penyelewengan melibatkan wang berjumlah sehingga RM1 bilion. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain