suria

Mahathir ragu Pakatan boleh tadbir negara

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak boleh memerintah negara kerana mereka mempunyai pendapat bertentangan dalam banyak isu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kemenangan tidak dijangka pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu bukan kerana rakyat fikir mereka mampu mewujudkan kerajaan yang lebih baik, tetapi disebabkan rakyat merasa marah dengan kepimpinan kerajaan sebelum ini.

"Mereka (pembangkang) fikir mereka boleh menang (pada pilihan raya umum akan datang), tetapi saya ragu-ragu sama ada mereka boleh mentadbir negara," katanyanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk "Membudayakan Melayu dengan Keusahawanan: Satu Anjakan Paradigma" di sini.

Dr. Mahathir berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah memenangi kembali sokongan rakyat sekiranya mereka dapat menunaikan apa yang mereka telah janjikan.

"Kalau tak laksana dan buat janji yang tak ditunaikan, maka rakyat yang dalam keadaan kecewa akan undi parti lawan," kata beliau dipetik Bernama.

Ditanya mengenai peluang BN pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 25 Ogos ini, Dr Mahathir berkata: "Kita membuat yang baik di Kelantan (pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai), di Permatang Pasir patut lebih baik daripada itu".

Artikel Berikut

Artikel Lain