suria

Lelaki maut ditembak dalam pub miliknya

IPOH: Seorang lelaki yang baru memulakan perniagaan pub sejak sebulan lalu maut selepas ditembak di dalam pubnya di Jalan Datuk Tahwil Azhar di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak SAC II Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian tembak itu dikenali sebagi V.Sivaneindran, 33.

Dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang duduk di bahagian kaunter pub itu ditembak empat das dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang masuk ke dalam pubnya itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Dzuraidi berkata mangsa yang mengalami cedera parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah hospiital swasta di sini.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan ke atas beberapa pekerja yang berada di premis berkenaan dan suspek dilihat melarikan diri selepas melepaskan tembakan.

Polis menemui dua kelongsong peluru di premis berkenaan, katanya.

Mohd Dzuraidi berkata Sivaneindran pernah dihukum penjara sebelum ini atas kesalahan dadah dan bunuh.

Mangsa juga pernah dikenakan hukuman mengikut Ordinan Darurat di penjara Simpang Renggam pada 2002 dan pada 2007 hingga 2008 dikenakan tindakan di bawah Akta Kediaman Terhad sebelum dibebaskan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain