suria

Empat anggota kumpulan samun Pak Ee ditembak mati

RAWANG: Empat anggota kumpulan samun "Pak Ee" yang amat dikehendaki, ditembak mati oleh polis berhampiran kilang simen Bristol di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata bahawa polis sedang mengesan saki baki anggota kumpulan samun terdiri warga Indonesia itu yang disyaki melakukan 15 rompakan sejak Jun lepas.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, beliau berkata bahawa pada 6.15 pagi polis mengesan penjenayah-penjenayah terbabit dalam sebuah kereta di Pasar Borong Selayang.

Sebelum itu, mereka dilaporkan cuba memecah masuk dan merompak sebuah rumah di Jinjang namun percubaan mereka gagal.

Khalid berkata apabila mengetahui bahawa mereka sedang diekori anggota peronda polis, kereta itu terus memecut tetapi terbabas di simpang berhampiran kilang simen berkenaan.

"Menyedari bahawa mereka dikepung, keempat-empat anggota kumpulan itu yang bersenjatakan parang dan sabit keluar dari kereta dan menyerang anggota polis peronda tersebut," katanya.

Ini memaksa anggota polis melepaskan tembakan yang mengena tepat keempat-empat anggota kumpulan itu, katanya.

Khalid berkata, keempatempat suspek yang berusia antara 22 dan 39 tahun itu telah diburu polis sejak kejadian kes rompakan di Shah Alam pada Jun lalu dan melarikan wang tunai dan barang kemas berjumlah jutaan ringgit selain turut memperkosa seorang pembantu rumah.

Kumpulan Pak Ee itu dipercayai telah melakukan tidak kurang daripada 15 kes samun di sekitar Lembah Klang sejak ia mula aktif tiga bulan lepas.

Polis turut merampas beberapa bilah parang, pisau dan besi tajam yang dijumpai di dalam kereta penjenayah itu.

Mayat mereka kini berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain