suria

Dua pekerja am rendah didakwa terima rasuah

RAUB: Dua Pekerja Rendah Awam Khas (PRAK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000, bulan lepas.

Mohammad Izam Kulub Mat Isa, 38, PRAK di Pejabat Renjer Hutan Bentong Timur didakwa menerima suapan wang tunai RM25,000 daripada Mat Seman Yusoff kononnya sebagai dorongan kepada pegawai renjer hutan daerah itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap pembalakan haram yang dilakukan Mat Seman di sekitar hutan Sungai Dua Olak, Mukim Sabai, Bentong.

Sementara Mohd Ramly Awang, 49, PRAK di Pejabat Perhutanan Daerah Temerloh didakwa menerima RM5,000 daripada orang yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pembalakan haram di kawasan berkenaan.

Keduadua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik nombor 809, Tingkat 15, Hotel First World, Genting Highlands pada kira-kira 6.45 petang dan 6.50 petang, 7 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Bazli Baharuddin menetapkan 2 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Mohammad Izam dan Mohd Ramly, masing-masing diikat jamin RM10,000 dan RM5,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Ossman sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain