suria

Tiga ditahan seludup warga Myanmar

KOTA BAHARU: Tiga penduduk tempatan ditahan oleh Jabatan Imigresen di sini kerana disyaki menyeludup masuk 12 warga Myanmar termasuk tiga kanakkanak untuk dijadikan peminta sedekah di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Norazilawati Mustapha berkata ketiga-tiga mereka, termasuk dua beradik, ditahan bagi membantu siasatan berhubung penahanan 12 rakyat Myanmar itu di sebuah rumah di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, semalam.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 dan 25 tahun, ditahan pukul 7 petang semalam dalam satu serbuan di rumah berkenaan dan mereka didapati tinggal bersama 12 warga Myanmar itu.

"Ibu bapa kepada dua adik beradik yang ditahan itu sedang dikesan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Norazilawati berkata warga Myanmar yang berusia antara dua tahun dan 39 tahun kini ditempatkan sementara di rumah perlindungan di sini manakala tiga suspek direman selama tujuh hari, mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya siasatan awal mendapati kesemua suspek terbabit mengambil upah antara RM250 dan RM500 seorang bagi membawa warga Myanmar itu ke Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Lain