suria

Perompak bersenjata larikan 4 dulang emas

ALOR SETAR: Empat perompak bersenjatakan senjata api jenis pump gun dan tukul melarikan empat dulang emas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai empas di Taman Mergong di sini tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar DSP Faisal Libertus Abdullah berkata dalam kejadian pukul 12 tengah hari tadi, tiga lelaki bertopeng termasuk seorang yang bersenjatakan pump gun menyerbu kedai emas tersebut.

Katanya seorang lagi daripada mereka dikatakan menunggu dalam kereta manakala lelaki yang bersenjata api terus melepaskan empat das tembakan di luar kedai sebagai tanda amaran.

"Dua daripada mereka terus memecah almari kaca dan mengambil empat dulang emas dan memasukkannya dalam satu karung sebelum melarikan diri dengan kereta jenis Proton Wira berwarna putih," katanya.

Beliau berkata ketika kejadian kedai itu hanya mempunyai dua pekerja dan tidak mempunyai pelanggan dan kedua-dua pekerja itu tidak dicederakan.

Faisal berkata polis sedang menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai berkenaan dan hasil siasatan awal polis percaya perompak berusia lingkungan 30an dan 40an.

Katanya perompak terbabit dipercayai melarikan diri ke arah utara Kedah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain