suria

Pemandu pelancong hadapi 26 pertuduhan perdagang manusia

KLANG: Seorang pemandu pelancong dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan memperdagang rakyat China bagi maksud eksploitasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, dekat sini pada minggu lepas.

Chin Fung Chu, 47, dari Penampang, Sabah, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang didakwa dilakukan di tempat letak kereta terbuka, Bangunan AMC di KLIA, pada 4 Ogos lepas.

Di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan sementara di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali, tertuduh menghadapi 13 lagi pertuduhan yang sama.

Chin didakwa memperdagang seramai 26 rakyat China yang terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 15 dan 46 tahun dengan enam daripadanya adalah di bawah umur.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan Seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Anita membenarkan Chin diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin manakala Hakim Yong Zarida menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Chin juga diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan keduadua mahkamah menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi dan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil sementara Chin diwakili peguam J. Ganesan. BERNAMA

Artikel Lain