suria

Lelaki bergelar Datuk antara lima lelaki didakwa edar dadah

PULAU PINANG: Lima lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dan dua warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah berbahaya iaitu pil Nimetazepam seberat 300 kg, bulan lepas.

Datuk Koay Khay Chye, 52, Ang Choon Beng, 85, Neoh Soon Par, 68, Mohamad Ziraldean Mohd Tanzi, 35 dan Ramli Abu Hassan, didakwa melakukan kesalahan itu di belakang bangunan Suew King, di Jalan Sungai Dua, Gelugor di sini pada 28 Julai lepas pukul 11.30 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Noor Fadzila Ishak menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Kesemua tertuduh tidak dibenar diikat jamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faisal Md Noor sementara Koay, Ang dan Neoh diwakili peguam Datuk Hanif Hashim manakala Mohamad Ziraldean dan Ramli tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain