Pemuda Umno cabar PAS keluar Pakatan Rakyat - Semasa | mStar

Pemuda Umno cabar PAS keluar Pakatan Rakyat

BUKIT MERTAJAM: Pergerakan Pemuda Umno hari ini mencabar PAS keluar daripada pakatan pembangkang bagi menjaga maruah parti itu yang seolah-olah tidak dihargai oleh rakan gabungannya, DAP. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, gabungan itu bukan sahaja tidak mempunyai semangat setiakawan yang tinggi seperti Barisan Nasional (BN), malahan tidak menghormati sumbangan PAS. Beliau berkata, contoh yang jelas berlaku di Pulau Pinang apabila satusatunya wakil rakyat Pas yang memenangi pilihan raya umum lalu tidak mendapat sebarang tempat dalam barisan exco kerajaan negeri.

"Oleh kerana kita akan ada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir tidak lama lagi dan difahamkan Pas akan bertanding di situ, saya cabar Pas supaya menuntut jawatan exco daripada kerajaan negeri pimpinan DAP agar suara Pas didengari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Uno bahagian Bukit Mertajam di sini.

Beliau berkata, jika mereka tidak diberikan tempat, sewajarnya parti itu menarik diri daripada gabungan itu untuk menjaga maruah.

"Saya bagi cabaran kepada PAS sekiranya kerajaan negeri DAP dan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak menghormati parti itu dengan tidak memberi jawatan sebagai exco, saya sarankan PAS keluar dari pakatan pembangkang di Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, perkembangan yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang kebelakangan ini membuktikan bahawa PAS tidak dihormati dan kenyataan pemimpinpemimpin DAP di kedua-dua negeri itu mengguris hati Pas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong PAS. "Saya kasihan dengan PAS dan saya nak lihat sejauh mana komitmen PAS kepada pakatan itu. Kita nak tengok sama ada PAS sanggup korbankan maruahnya kerana nak jaga DAP sebab hendakkan kuasa atau sanggup berdiri atas prinsip yang benar," katanya.

Berbeza dengan BN, katanya, anggota komponen masih diberi ruang menganggotai kabinet walaupun mereka tidak memenangi banyak kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum lalu.

Sebagai contoh, katanya, MIC dan Gerakan yang masing-masing hanya memenangi dua kerusi diberikan peluang menjadi menteri dan timbalan menteri kerana BN sentiasa menghargai sumbangan rakan-rakannya.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Khairy berkata, Pemuda Umno akan menggunakan pendekatan yang sederhana serta berjumpa pengundi secara peribadi dan berkampung di sana untuk menarik sokongan mereka kepada calon BN.

Katanya, pada ketika ini persiapan jentera pilihan raya Pemuda sedang diatur dan yang paling penting mewujudkan perpaduan di dalam Umno Permatang Pauh sendiri supaya jentera dapat bergerak lancar.

Katanya, beliau telah mendapat jaminan daripada Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh bahawa pergerakan itu akan menyokong siapa sahaja yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon di kawasan itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS selama tiga penggal di kawasan itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur kerana sakit jantung. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.