suria

Pelajar boleh teruskan pembelajaran dalam BI - Muhyiddin

PERTH: Pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata, isu itu turut dibangkitkan oleh rakannya dalam Kabinet dan beliau mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mengenainya.

"Kami membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir hari ini.

Muhyiddin berkata, pelajar yang mula belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris akan terus diajar dalam bahasa itu, dan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

"Mereka (ibu bapa) tidak perlu bimbang," katanya.

"Saya mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bimbang. Kami mengguna pakai pendekatan berlembut...memberi peluang untuk bergerak secara perlahanlahan ke dalam sistem baru," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matermatik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan kembali kepada dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing dari 2012.

Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Enam Rendah pada 2003, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai laporan akhbar hari ini bahawa Jabatan Pelajaran telah menarik balik kebenaran bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Hartamas untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membantah perubahan dasar itu dan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran bagi sains dan matematik, Muhyiddin berkata pegawai jabatan itu tidak sepatutnya berbuat demikian.

"Kami bersikap terbuka. Mereka (jabatan) tidak harus bersikap demikian, maafkan saya. Saya minta maaf. Saya fikir tidak adil (untuk menarik balik kebenaran itu)," katanya.

Muhyiddin berharap pegawai jabatan tidak berbuat demikian di masa depan.

Katanya dengan membantah perubahan dasar itu, itu merupakan salah satu cara menunjukkan kejayaan dasar itu, walaupun kerajaan terpaksa mengubahnya demi kepentingan majoriti pelajar di negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain