suria

Internet tidak sepatutnya ditapis - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata internet tidak perlu ditapis dalam apa cara sekalipun, dan adalah salah untuk melakukannya walaupun ada perkara yang perlu dikawal.

"Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan datang melalui internet. Itu, saya rasa, kita ada hak untuk tidak membenarkannya," katanya kepada pemberita selepas berucap pada sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di sini, pada hari Sabtu.

Beliau berkata ketika pentadbirannya, apabila kerajaan memulakan MSC, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menapis internet.

"Jadi mungkin ia jaminan yang saya beri ketika zaman saya. Saya tidak tahu sama ada ia akan dipegang oleh kerajaan sekarang," katanya.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kerajaan akan mengkaji untuk meletakkan tapisan pada internet bagi menghentikan akses kepada laman web yang tidak dikehendaki.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengawasi dan menapis kandungan internet kerana langkah itu bukan hanya tidak berkesan tetapi juga akan menyebabkan rakyat tidak puas hati.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan Selangor mengenai penjualan minuman keras, Dr Mahathir berkata Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan orang ramai tidak boleh menghalang kaum lain melakukan perkara yang dibenar oleh agama dan bangsa mereka.

"Kita juga tidak sepatutnya cuba melaksanakan pandangan atau nilai sesuatu agama terhadap agama lain," katanya.

Kerajaan negeri Selangor memutuskan tidak akan melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri ini, sebaliknya meminta semua premis perniagaan, pasar raya dan kedai serbaneka yang menjual arak mengamalkan konsep kawalan sendiri bagi membendung penjualan minuman keras kepada orang Islam dan remaja bawah umur. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain