suria

Sekolah satu aliran boleh jayakan 1Malaysia - Mukhriz

NIBONG TEBAL: Pelaksanaan sekolah satu aliran dapat membantu menjayakan konsep 1Malaysia kerana ia boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau yang juga anggota Parlimen Jerlun berkata melalui konsep pendidikan itu, pelajar pelbagai kaum dapat bergaul dan berinteraksi dengan lebih berkesan.

"Ia mungkin boleh dijayakan dengan mewajibkan bahasa Mandarin dan Tamil contohnya sebagai mata pelajaran elektif, ini bermakna pelajar boleh belajar bahasa ibunda rakan-rakan mereka yang lain.

"Alangkah baiknya jika rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil serta mencapai matlamat 1Malaysia yang lebih harmoni dan saling memahami," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Wacana Perpaduan 1Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berkata bagi mengelak pelajar meninggalkan bahasa ibunda mereka, sekolah satu aliran itu perlu mewajibkan pelajar mengambil mata pelajaran bahasa ibunda masing-masing.

Beliau berkata sistem pendidikan itu dapat menyatupadukan semua kaum melalui perkongsian budaya dan adat resam serta dapat mengelak daripada berlakunya polarisasi kaum di negara ini.

Mukhriz berkata cadangan sekolah satu aliran itu pernah dimuatkan dalam Penyata Razak pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum negara menyambut kemerdekaan.

"Allahyarham Tun Abdul Razak telah menyatakan ingin melihat sekolah satu aliran menjadi kenyataan. Namun selepas 52 tahun Merdeka ia belum terjadi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dicapai jika semua pihak berganding bahu menjayakannya. BERNAMA

Artikel Lain