suria

PGSM sokong larang jual arak secara terbuka

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong sepenuhnya peraturan melarang penjualan arak secara terbuka dan di kawasan majoriti penduduk Melayu Islam.

PGSM menyatakan pendirian itu bagi mengulas kekecohan yang timbul di negeri Selangor berhubung larangan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu Islam di Negeri Selangor dengan tindakan Exco Ronnie Liu yang campurtangan terhadap tindakan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Isu ini berbangkit setelah arak dijual secara terbuka di francais 7- Eleven yang melibatkan orang Islam kerana kebanyakan pekerja di kedai 24 jam tersebut adalah terdiri daripada orang Islam.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh PGSM itu menyatakan, soal penduduk bukan Islam yang terpaksa ke kawasan lain bagi mendapatkan bekalan arak adalah tidak timbul kerana sensitiviti umat Islam perlu dijaga dan dipertahankan.

Menurut Timbalan Presidennya, Musa Awang, tindakan larangan itu adalah perlu bagi mematuhi hukum syarak.

"Ini kerana arak telah ternyata haram di sisi umat Islam samada dalam jumlah yang sedikit mahupun banyak. Arak adalah punca segala kejahatan.

"Sesetengah jenayah dalam masyarakat hari ini antara lain berpunca daripada arak. Apabila seorang itu mabuk, maka dia akan melakukan kejahatan sama ada dari segi percakapan dan perbuatannya, tanpa menyedari akibatnya," kata Musa.

Jelasnya lagi, arak juga menyebabkan perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat dan orang yang mabuk arak tidak mengindahkan tuntutan-tuntuan agamanya dan tidak mempedulikan larangan-larangan syarak. Arak juga mengikis harta.

"Seorang penagih arak melakukan kejahatan-kejahatan yang lain seperti berjudi, berpoya-poya, pergi ke tempat-tempat maksiat dengan menghabiskan masa tenaga dan wang ringgit.

“PGSM akan berdiri untuk menyokong larangan penjualan arak secara terbuka (7- Eleven) sebab kebanyakan orang Islam yang ke situ dan mereka akan melihat jualan arak.

“Pada masa yang sama, staf di situ adalah orang Islam dan mengambil duit orang yang membeli arak.

"Jadi, kita kena jaga sebab arak haram bukan setakat kepada orang yang minum tetapi termasuk orang yang membuat,menyediakan dan menjualnya.

"Ini adalah haram dan kita menyokong secara penuh larangan dari menjual arak di kawasan majoriti Melayu Islam,” ujarnya.

Katanya, walaupun orang bukan Islam boleh meminum minuman arak atau memprosesnya, namun mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran agama, budaya dan moral umat Islam.

Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan tersebut, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi, serta tidak melibatkan penyertaan umat Islam.

Artikel Lain