suria

Peralihan kuasa bagi pemimpin pembangkang gagal jalankan tugas

BUTTERWORTH: Kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang disaran supaya mengadakan peralihan kuasa jika pemimpinnya tidak mampu mentadbir negeri dengan baik.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kegagalan pemimpin berkenaan mengurus dan menyelesaikan masalah di peringkat negeri dengan baik boleh menyebabkan rakyat lebih menderita.

Katanya, ketika ini keadaan di Selangor dan Pulau Pinang nampak agak kelam kabut dengan pelbagai masalah yang tidak dapat diselesaikan kerajaan negeri masing-masing dan keadaan itu boleh menjejaskan kebajikan rakyat.

"Pemimpin mereka tidak berhenti bertelagah sesama sendiri dan sibuk menyuarakan rasa tidak puas hati antara satu sama lain mengenai isu arak, isu Kampung Buah Pala dan kenyataan Jeff Ooi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Kawan di sini.

Berdasarkan kekalutan itu, katanya, wajar pemimpin seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi peluang kepada rakan lain dalam gabungan pembangkang untuk mengambil alih tugas mereka supaya tempoh pentadbiran gabungan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa perubahan yang dijanjikan.

Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, bimbang kerancakan pembangunan di kedua-dua negeri itu akan tergendala kerana kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku dalam barisan pemerintahnya.

"Jika kita lihat, di Selangor banyak masalah dalaman dalam pentadbirannya sehingga ada exconya sendiri meminta Menteri Besar merombak barisan kepimpinan yang ada dan ada juga yang meminta exco tertentu digugurkan. Itu semua membuang masa," katanya.

Beliau turut mengingatkan pembangkang supaya berhenti daripada menyalahkan orang lain di atas ketidakmampuan mereka untuk melaksanakan pentadbiran atau menyelesaikan masalah rakyat dengan baik.

"Pendekatan menyalahkan orang lain atau kerajaan terdahulu yang menjadi amalan mereka selama ini perlu dihentikan. Mereka harus ingat bahawa mereka sekarang yang memerintah dan bertanggungjawab menguruskan sesuatu perkara, bukan lagi kerajaan lalu," katanya.

Katanya, rakyat harus membuka mata dan melihat kemampuan sebenar gabungan pembangkang, yang bukan sahaja tidak mempunyai persefahaman malahan ideologi perjuangan yang tidak sehaluan. Beliau juga meminta pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir supaya menghantar isyarat yang cukup jelas kepada pembangkang pada pilihan raya kecil kawasan itu kelak bahawa mereka telah gagal membawa perubahan walaupun telah berkuasa lebih setahun di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohd Puad meminta bahagian-bahagian Umno di seluruh negara yang mengadakan persidangan perwakilan mereka agar membincangkan secara serius mengenai pindaan perlembagaan yang bertujuan mengukuhkan parti.

Beliau berharap pindaan yang dicadangkan disokong sepenuhnya termasuk yang berkaitan dengan hubungan antara parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meluaskan jangkauan keluar parti kepada mereka yang bukan anggota parti.

"Pindaan perlembagaan ini penting kerana Umno perlu melihat perkembangan semasa di sekitarnya dan tidak hanya menumpukan perhatian kepada ahlinya semata-mata. Umno bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi ia juga boleh memberi keadilan kepada kaum lain," katanya. BERNAMA

Artikel Lain