suria

Kematian H1N1 ke-15: PM isytihar ancaman serius

PETALING JAYA: Jumlah kematian akibat influenza A(H1N1) meningkat lagi dengan seorang lelaki berusia 40 disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Dengan kematian itu, Malaysia telah merekodkan 15 kematian setakat pagi semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengisytiharkan wabak A(H1N1) kini telah menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada 14 sehingga kelmarin dan banyak sekolah serta institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

"Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak," kata beliau selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di ibu negara pagi semalam.

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib yang dipetik Bernama berkata, langkah pencegahan daripada segi kebersihan boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

"Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Kesihatan menjelaskan, kes kematian ke-15 melibatkan lelaki obes berumur 40 tahun.

Dia yang dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2009 kerana mengalami sesak nafas dan telah meninggal dunia kelmarin kerana Acute Coronary Syndrome with Cardiogenic Shock.

Mangsa mengalami demam dan batuk sejak 28 Julai lalu dan telah mendapat rawatan di klinik swasta pada 31 Julai lalu dan hospital swasta pada 2 Ogos sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Pesakit itu disahkan positif influenza A(H1N1) semalam iaitu sehari selepas kematian, kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, sebanyak 33 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan semalam.

Kesemuanya adalah kes tempatan dan di kalangan warganegara Malaysia.

Daripada 33 kes yang dilaporkan semalam, 28 merupakan kejadian dari sembilan kluster baru dan lima adalah kes sporadik atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 8 pagi tadi adalah sebanyak 1,525 kes dengan jumlah kematian 15 orang.

Daripada 1,525 kes yang dilaporkan tersebut, 574 atau 38 peratus merupakan kes import dan 951 (62 peratus) kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah ini, 1,434 kes (94 peratus) telah sembuh.

Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 14 orang.

Seramai 44 pesakit sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi manakala 33 orang menerima rawatan pesakit luar.

Daripada 14 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post-delivery (1) dan bayi (2).

Artikel Lain