suria

Jawatan Ketua Wanita, Pemuda MIC dicabar

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda MIC akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyelarasnya sekarang T.Mohan dan S.P.Muthu Veloo manakala ketua wanita parti itu Datin Paduka P.Komala Devi akan berdepan timbalannya, S.Thangasvari.

Ketua Puteri MIC Senator Usha Nandhini menang tanpa bertanding selepas pencalonan bagi ketiga-tiga pergerakan itu ditutup tengah hari di Ibu pejabat parti itu di sini pada hari Sabtu.

Ketika mengumumkan nama mereka yang bertanding pelbagai jawatan bagi ketiga-tiga pergerakan itu selepas tempoh bantahan selama sejam, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu yang bertindak sebagai pegawai pilihan raya berkata pemilihan bagi semua jawatan akan diadakan pada 16 Ogos.

Ia juga pertandingan satu lawan satu bagi jawatan nombor dua pergerakan Pemuda MIC antara Anggota Dewan Undangan negeri (ADUN) Kahang R.Vidyananthan dan Ketua Biro Politik Pemuda MIC V.Mugilan manakala jawatan bagi Timbalan Ketua Wanita MIC akan menyaksikan pertandingan antara Ketua Wanita MIC Negeri Sembilan Dr P.Thanaletchumi dan Dr C.V. Prema dari Perak.

Vidyananthan dikatakan bersepakat dengan Mohan manakala Thanaletchumi dengan Thangasvari, 61, yang juga Ketua Wanita MIC Perak.

Seramai 541 perwakilan pemuda MIC dan 572 perwakilan Wanita akan mengundi bagi menentukan calon yang akan menerajui pimpinan kedua-dua pergerakan itu bagi tiga tahun akan datang.

Pada pemilihan 16 Ogos nanti, Pergerakan Wanita dan Pemuda MIC akan memilih dua wakil bagi jawatankuasa kerja pusat parti (CWC), 12 Anggota Jawatankuasa dan 35 perwakilan ke perhimpunan agung MIC yang dijadualkan pada 12 Sept apabila pemilihan diadakan.

Samy Vellu berkata beliau tidak akan menyokong mana-mana calon dari pergerakan Pemuda dan Wanita walaupun calon Ketua Pemuda MIC Muthu Vello, 38, adalah anak saudaranya.

Mohan, 36, disokong anak Samy Vellu, S.Vell Paari, yang merupakan penasihat pergerakan itu.

Bagaimanapun, Samy Vellu telah menyatakan sokongannya kepada penyandang Timbalan Presiden MIC Datuk G.Palanivel bagi jawatan Nombor Dua dalam parti itu dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Saravanan bagi tiga jawatan Naib Presiden.

Pemimpin MIC itu juga berkata beliau akan mengumumkan senarai calon yang disokongnya bagi 23 jawatan dalam CWC. BERNAMA

Artikel Lain