suria

Amalkan tiga budaya mantapkan kembali Umno - Najib

PEKAN: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin dan anggota parti itu mesti mempraktikkan tiga budaya "mendengar, berkhidmat dan menyelesaikan masalah" bagi memantapkan semula Umno.

Perdana Menteri berkata ketiga-tiga budaya itu penting bagi memastikan Umno terus dapat mempertahankan kedudukannya sebagai parti memerintah dan mendapat sokongan padu daripada rakyat.

"Yang pertama, budaya mendengar kita kena sentiasa mendengar suara rakyat, rintihan rakyat, sanggup sentiasa disisi rakyat dan bukannya jauh, bukan sombong tapi merendah diri dan jangan jadi golongan elit," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pekan di sini, hari ini.

Najib yang juga Ketua Umno bahagian itu berkata budaya kedua ialah berkhidmat iaitu sentiasa memberikan khidmat yang terbaik sepanjang masa.

"Berkhidmat untuk rakyat, jangan berkhidmat kepada puak kita sahaja, berkhidmat mesti sepanjang masa, bukan masa dekat pilihan raya, (bila dekat pilihan raya), kepil biodata, harap-harap jadi calon. "Itu budaya nak jadi calon, rakyat akan menilai kita, kita kena jaga semua orang, yang penting bukan kita tapi parti kita," kata Najib.

Budaya ketiga menurut Najib ialah mampu menyelesaikan masalah: "Jangan (hanya) dengar (masalah), ambil surat tapi tidak selesaikan, jangan biar "bernanah", (setiap) masalah itu yang dikesan mesti diselesaikan," katanya.

Najib turut melahirkan rasa terharu beliau kerana buat pertama kalinya beliau merasmikan mesyuarat bahagian itu sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Secara berseloroh, beliau berkata "orang-orang Pekan ketika ini amat diminati" ramai pihak yang mahu mendapatkan projek dan sebagainya.

"Orang Pekan amat diminati orang luar. Projek-projek luar diajukan (kepadanya) melalui orang Pekan, dulu mereka cari "orang Kepala Batas", sekarang cari orang Pekan pula.

"Faham-fahamlah, kalau (projek) untuk kepentingan rakyat, saya boleh beri, bergantung kepada peraturan dan peruntukan kerajaan, kalau peribadi, tengok-tengoklah..," kata Najib.

Najib berkata selaku Anggota Parlimen Pekan, beliau akan terus membela dan memperjuangkan pembangunan untuk kesejahteraan penduduk kawasannya itu.

"Saya akan menjunjung amanah yang diberikan dan akan terus berusaha untuk melonjakkan Malaysia dalam proses transfomasi yang lebih besar," katanya.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhamad. BERNAMA

Artikel Lain