suria

UMNO Pulau Pinang mula gerak jentera hadapi pilihan raya Permatang Pasir

BUKIT MERTAJAM: Umno Pulau Pinang mula menggerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini jentera di peringkat negeri, bahagian dan peti undi telah pun ditubuhkan dan pembahagian tugas dan tanggungjawab untuk jentera dari negerinegeri dan bahagian di seluruh negara juga telah ditetapkan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan itu di Bangunan Umno Permatang Pauh, di sini semalam, katanya walaupun mengakui bahawa pilihan raya kecil itu merupakan satu tanggungjawab yang berat, namun beliau yakin segenap anggota parti akan berusaha memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Mengenai calon, katanya, Umno tidak mengira sama ada calon itu tua atau muda tetapi yang penting calon berkenaan mempunyai peluang besar untuk memenangi pilihan raya berkenaan.

"Orang yang kita akan pilih untuk bertanding mestilah calon dari Permatang Pasir dan yang akan menang," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata mesyuarat semalam tidak membincangkan soal calon dan pengumuman mengenainya hanya akan dibuat selepas berbincang dengan timbalan dan presiden parti.

Sebelum ini, pernah dilaporkan bahawa Umno mahu meletakkan calon muda dan terdiri daripada kalangan profesional di Permatang Pasir.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman pada pagi Jumaat lalu di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur kerana sakit jantung.

Mohd Hamdan, 63, menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama tiga penggal mulai 1999.

Ahmad Zahid berkata, Umno Permatang Pauh tidak menghadapi masalah dalaman tetapi lebih pada masalah peribadi beberapa pemimpinnya berikutan pemilihan parti di peringkat cawangan dan bahagian yang lalu.

Katanya, beliau akan menemui personaliti tertentu di bahagian itu untuk menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin supaya mereka dapat menumpukan perhatian pada pilihan raya tersebut. BERNAMA

Artikel Lain