PM: Influenza A (H1N1) kini ancaman serius - Semasa | mStar

PM: Influenza A (H1N1) kini ancaman serius

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wabak influenza A (H1N1) kini telah menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada 14 sehingga semalam dan banyak sekolah dan institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

"Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di sini hari ini.

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib berkata langkah pencegahan daripada segi kebersihan boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

"Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang," kata Perdana Menteri.

"Kalau kita perlu memakai topeng, pakailah. Tidak ada apaapa kerugian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata rakyat harus menghormati peringatan yang diberikan oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah mengenai tujuh wasiat Raja-raja Melayu.

Beliau berkata ini adalah kerana pertautan di antara raja dan rakyat penting dan telahpun termaktub dalam sejarah Melayu.

Katanya, di antara rakyat dan raja, masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu dalam sesebuah negara.

"Kita hormatilah pandangan Raja-raja Melayu dan yang penting sekali ialah institusi diraja ini adalah berpaksi kepada dukungan rakyat dan juga pertautan antara raja dan rakyat itu penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah yang mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat itu disampaikan semasa Raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Artikel Sebelum

PM arah menteri selalu lawat Sarawak

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.