suria

Pencuri larikan wang peniaga bernilai RM70 ribu

TUMPAT: Dua lelaki melarikan wang seorang peniaga bahan binaan bernilai RM7O,000 di Kampung Kutan dekat sini pagi semalam.

Peniaga berusia 70 tahun itu turut cedera selepas ditendang peragut dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi.

Wang tersebut merupakan hasil kutipan hutang pelanggan peniaga tersebut.

Anak mangsa yang enggan dikenali berkata, bapanya baru sahaja tiba di kedai itu apabila tibatiba dia didatangi dua lelaki yan tidak dikenali dalam sebuah kereta.

"Tiba-tiba seorang daripada lelaki berkenaan keluar dari kereta tersebut dan terus meluru ke arah bapa saya yang sedang berdiri di hadapan kedainya, menendangnya dan terus meragut beg yang sedang dipegangnya sebelum melarikan diri," kata anak mangsa kepada pemberita.

Beliau berkata wang tersebut adalah hasil daripada bayaran hutang pelanggan yang dikutip pada hari sebelum itu.

"Wang tersebut sepatutnya dimasukkan ke bank semalam tetapi tidak sempat kerana hari sudah lewat petang," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Wakaf Baharu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Khalid Munap mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Polis telah melancarkan gerakan memburu dua suspek berkenaan dan kes tersebut disiasat atas jenayah mencuri, katanya. BERNAMA

Artikel Lain