suria

Kerana bunyi penggera, seorang lelaki gagal rompak bank

KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang pekerja bank menekan penggera mengagalkan rancangan seorang lelaki untuk merompak sebuah bank di Jalan Rawang 1, Rawang dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, suspek dalam lingkungan 20an itu berlakon sebagai pelanggan bank dan berpurapura mengisi borang sebelum menghampiri kaunter sambil mengacukan pistol terhadap petugas di kaunter terbabit.

Ketika kejadian hanya dua pekerja bank yang bertugas di kaunter dan hanya kaunter pertama dan ketiga yang dibuka untuk urusan pelanggan.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah yang dihubungi berkata suspek kemudian telah mengarahkan kakitangan bank di kaunter untuk memasukkan wang ke dalam beg yang diberi olehnya.

Melihat kejadian itu, pekerja bank di kaunter berasingan bertindak nekad menekan penggera yang terletak di bawah kaunternya itu.

"Terkejut dengan bunyi penggera terbabit, suspek kemudian terus keluar dari bank untuk melarikan diri tanpa sempat melarikan wang tunai dan mengambil beg galas kepunyaannya," katanya.

Abdul Rahim berkata polis masih tidak dapat mengenalpasti jenis kenderaan yang dinaiki suspek dan jenis pistol yang digunakan dalam kejadian itu.

Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu adalah suspek yang melakukan rompakan di sebuah bank lain di sekitar Rawang pada 23 Julai lepas, katanya.

"Kita percaya lelaki itu adalah suspek yang sama berdasarkan modus operandi dan jenis beg sandang yang sama," katanya. BERNAMA

Artikel Lain