suria

Isu arak, Ronnie: PAS lancar kempen "Bebaskan Selangor"

PETALING JAYA: Isu jualan minuman keras di Selangor makin hangat dengan tindakan terbaru PAS negeri itu yang akan melancarkan kempen penerangan tengah hari ini - juga memfokus usaha agar Ronnie Liu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, digantikan.

Kempen itu akan dilancarkan di seluruh masjid di Selangor selepas solat Jumaat hari ini.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

"Kempen penerangan ini bertujuan menjelaskan pendirian PAS berhubung jualan minuman keras di kawasan majoriti masyarakat Islam di seluruh Selangor," katanya.

Kempen ini dilancarkan ketika banyak pihak menunggu formula penyelesaian yang kemungkinan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Sempena kempen PAS Selangor akan menaikkan kain rentang berbunyi "Bebaskan umat Islam dari arak. PAS menyokong tindakan MBSA" dan mengedarkan risalah yang berkaitan di semua masjid hari ini, kata beliau.

Meskipun kempen itu secara langsung tidak memfokus terhadap kedudukan Ronnie Liu sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kerajaan tempatan tetapi PAS Selangor yang mahu beliau digantikan tidak berubah, kata Roslan Shahir.

"Kempen ini mahu menerangkan pendirian PAS, Ronnie bukan isunya," jelas beliau.

Katanya, kempen penerangan akan diteruskan sehingga isu ini selesai.

PAS Selangor menyatakan pendiriannya Selasa lalu agar panduan jualan minuman keras di Selangor dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi. Malah ia juga telah menyediakan draf garis panduan yang baru untuk tindakan kerajaan negeri.

Komponen Pakatan Rakyat itu mendesak agar kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan minuman keras di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang hingga meresahkan masyarakat Islam.

Sambil merujuk pada peranan Ronnie Liu, jelas Hasan yang juga Exco kerajaan negeri, PAS Selangor kesal apabila inisiatif untuk mengawal pengurusan penjualan dan aktiviti minum keras di kalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak tertentu.

Artikel Lain