suria

Isu arak: Pemuda Umno Selangor serah memo sokong MBSA

Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azhari Shaari menyerahkan memorandum berhubung isu arak kepada Datuk Bandar MBSA, Datuk Mazlan Md Noor (kanan) di Shah Alam petang tadi. _ foto The Star K K SHAM
Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azhari Shaari menyerahkan memorandum berhubung isu arak kepada Datuk Bandar MBSA, Datuk Mazlan Md Noor (kanan) di Shah Alam petang tadi. _ foto The Star K K SHAM
Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azhari Shaari menyerahkan memorandum berhubung isu arak kepada Datuk Bandar MBSA, Datuk Mazlan Md Noor (kanan) di Shah Alam petang tadi. _ foto The Star K K SHAM

SHAH ALAM: Pemuda Umno Selangor petang tadi menyerahkan memorandum sebagai tanda menyokong tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas minuman keras dari kedai serbaneka 7 Eleven di sini baru-baru ini.

Sebagai tanda sokongan kumpulan tersebut terhadap tindakan MBSA, Ketua Pemuda Umno bahagian Shah Alam, Azhari Shaari menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar MBSA, Mazalan Md Noor pada pukul 3.15 petang tadi.

"Kami (Pemuda Umno Selangor) dengan ini menyatakan sokongan padu terhadap segala usaha dan tindakan yang telah diambil oleh pentadbian MBSA dalam menguatkuasakan peraturan serta undang-undang yang telah diwartakan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Azhari berkata, Pemuda Umno Selangor berpandangan bahawa tindakan bahagian penguat kuasa Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA adalah betul.

"Ini selaras dengan keputusan MBSA mengenai dasar lrangan aktiviti penjualan minuman beralkohol di kawasan pentadbiran MBSA dari Seksyen 1 hingga Seksyen 24 dan di kawasan yang majoritinya penduduk beragama Islam.

"Kami (Pemuda Umno Selangor) sekali lagi menggesa MBSA agar tidak tunduk dan takut dengan apa jua tekanan serta halangan dalam melaksanakan tugas mereka," katanya.

Tegasnya, Pemuda Umno Selangor juga berpendapat kenyataan bodoh dan dangkal yang dikeluarkan oleh seorang Exco Kerajaan Negeri seperti Ronnie Liu yang menakrifkan bahawa bir bukan minuman keras adalah satu penghinaan kepada umat Islam.

Hal ini kerana, minuman keras tetap haram diminum oleh umat Islam tanpa mengambil kira berapa peratus kandungan alkoholnya.

"Ini jelas dinyatakan dalam al-Quran dan difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan serta Majlis Fatwa Negeri Selangor.

"Sehubungan itu, kenyataan sebegini tidak seharusnya dilafazkan oleh seorang yang jahil seperti beliau (Ronnie) kerana ia boleh mengundang rasa tidak puas hati serta menghiris sensitiviti umat Islam," katanya.

Minggu lalu, Ronnie Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan mengarahkan MBSA supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka.

Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.

Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.

Rampasan oleh Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Penyokong-penyokong yang berhimpun itu juga terdiri daripada penduduk yang tinggal di Seksyen 8.

Masing-masing memegang kain rentang yang tertulis "Kami sokong penuh tindakan MBSA, jangan takut untuk tegakkan kebenaran. Jangan jadi pengkhianat kepada orang Islam".

Mereka juga melaungkan perkataan "Haram tetap haram, Hidup Umno, Hidup Melayu, Hidup Islam".

Kumpulan tersebut bersurai kira-kira 20 minit kemudian.

Artikel Lain