suria

Isu arak: PAS Selangor 'kecewa', pendirian diumum Isnin

PETALING JAYA: Kempen penerangan bagi menjelaskan pendirian PAS Selangor berhubung isu jualan minuman keras di negeri itu dan kedudukan Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu, tidak diadakan secara menyeluruh membabitkan semua masjid sebagaimana telah diumumkan.

Tinjauan mStar Online juga mendapati tiada kain rentang dinaikkan di masjid-masjid utama di Selangor. Malah tiada risalah diedarkan.

Ia juga diakui oleh Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir yang menjelaskan, pihaknya sebenarnya telah mengharapkan penyelesaian positif daripada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang membuat pengumuman tengah hari tadi.

"Hanya kain rentang dinaikkan, di beberapa tempat, tidak semua masjid," katanya.

"Kita sebenarnya telah menjangkakan sesuatu yang positif (pengumuman oleh Menteri Besar)... tapi...," kata Roslan Shahir ketika dihubungi.

PAS Selangor telah merancang untuk mengadakan kempen penerangan tengah hari tadi - dilancarkan di seluruh masjid di Selangor selepas solat Jumaat tadi.

Kempen itu juga memfokus usaha agar Ronnie Liu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, digantikan.

Ia dijadual diadakan serentak pada hari yang sama dengan pengumuman Menteri Besar mengenai isu jualan minuman keras.

Kira-kira sejam sebelum kempen itu diadakan Khalid memberitahu wartawan bahawa kerajaan negeri Selangor memutuskan bahawa penjualan minuman keras di negeri itu adalah berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli daripada kalangan orang Islam dan remaja.

Jelas beliau, menerusi peraturan sendiri itu, ia turut bermakna penjual tidak perlu menjual minuman keras di premis mereka yang terletak di kawasan yang tidak mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak akan mengharamkan penjualan minuman keras tetapi sebaliknya akan memberi tempoh sebulan kepada premis terbabit supaya tidak menjual minuman keras kepada masyarakat Islam.

Sebagai permulaan langkah itu dimulakan dengan kawasan Shah Alam untuk melaksanakan "self regulation".

Justeru jelas Khalid, draf cadangan berhubung penjualan minuman keras yang dikemukan oleh PAS adalah tidak relevan untuk dilaksanakan memandangkan kerajaan negeri perlu turut mengambil kira kepentingan semua pihak.

Roslan Shahir menambah, PAS Selangor akan mengkaji kenyataan Menteri Besar sebelum mengeluarkan pendiriannya.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan tentang pendirian kami selewat-lewatnya Isnin ini," katanya.

Artikel Lain