suria

Denggi meningkat, Chikungunya menurun

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi meningkat kepada 568 kes untuk tempoh 26 Julai hingga 1 Ogos berbanding 528 kes pada minggu sebelumnya tetapi tiada kematian dilaporkan, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata hari ini.

"Tiada kematian direkodkan pada minggu ke-30 berbanding dua kematian di Selangor dan Sabah pada minggu sebelumnya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes chikungunya, yang juga dijangkiti melalui nyamuk, pula menurun kepada 35 kes daripada 38 dalam tempoh yang sama.

Selangor masih paling banyak jangkitan denggi dengan 228 kes baru kepada 13,776 sehingga 1 Ogos dengan 44 kematian, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 2,611 kes dengan tujuh kematian dan Perak dengan sejumlah 2,229 dengan satu kematian

Lokaliti "kawasan panas" juga turun daripada 33 kepada 31 dengan 25 daripadanya di Selangor, lima di Kuala Lumpur dan satu lokaliti di Johor.

Mohd Ismail berkata jumlah kes demam denggi tahun ini, sehingga 1 Ogos, ialah 27,542 kes dengan 66 kematian berbanding 25,795 kes dengan 61 kematian untuk tempoh yang sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1,747 kes. BERNAMA

Artikel Lain