suria

DAP gesa Hasan Ali dikenakan tindakan disiplin

PETALING JAYA: Perbalahan terbuka antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat di Selangor semakin berlarutan dengan DAP hari ini menuntut diwujudkan jawatankuasa disiplin bagi membincangkan tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali kerana tindakannya meminta agar Ronnie Liu dari DAP dilucutkan daripada jawatannya sebagai exco Selangor baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, tindakan Hasan dalam kes itu dilihat "tidak sesuai serta tidak adil", dan menambah bahawa ia diburukkan lagi dengan tindakan Pemuda PAS mengadakan demonstrasi menentang Liu, serta rancangan PAS mengadakan kempen besar-besaran di masjid-masjid berhubung isu itu sebagaimana yang dilaporkan media.

"Apa yang membuatkan tindakan (Hasan) itu tidak dapat diterima ialah kenyataan bahawa Ronnie Liu menjalankan tanggungjawabnya dengan tekun, apabila mengarahkan supaya dipulangkan barang yang diambil secara tidak sah kepada pemiliknya," kata Pua kepada pemberita di pejabat DAP Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, DAP memiliki hubungan yang baik dengan PAS di peringkat persekutuan, namun menurutnya parti itu benar-benar bingung dengan apa yang berlaku di Selangor yang dilihat berbeza sama sekali dengan hubungan yang wujud di peringkat nasional.

Pua berkata, DAP akan menghantar surat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat hari ini bagi menggesa supaya ditubuhkan satu jawatankuasa disiplin.

Minggu lepas, Liu selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam.

Ekoran tindakan itu Hasan mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Liu.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Hasan mengambil pendekatan berdiam diri walaupun diasak pemberita dengan soalan tentang desakannya supaya Liu digugurkan dari senarai Exco tidak dilayan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebaliknya Hasan berkata beliau akur dengan arahan Khalid Rabu lepas yang meminta kesemua pegawai kerajaan negeri dan anggota Exco tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penjualan arak di Selangor sehingga garis panduan mengenai perkara itu dikeluarkan hari ini.

"Sebenarnya, ahli Exco tak dibenarkan bercakap dan selepas (perkara itu) selesai, awak boleh datang berjumpa saya lepas pukul 12.01 malam ini. Arahan ini terpakai sehingga hari ini sahaja," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran terbuka Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di sini hari ini.

Hari ini, kerajaan negeri Selangor memutuskan bahawa penjualan minuman keras di negeri itu adalah berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli dari kalangan orang Islam dan remaja.

Diminta mengulas mengenai keputusan itu, Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor mendakwa beliau belum mengetahui tentang keputusan itu. "Nantilah.. hari Isnin ini kemungkinan besar saya akan adakan sidang akhbar dan bila semuanya dah sedia, saya akan hubungi media dan awak (pemberita) boleh datang dapatkan version saya mengenai keputusan yang dikatakan dibuat hari ini," katanya.

Artikel Lain