suria

Polis tahan 46 pelacur warga China

KUALA LUMPUR: Seramai 46 wanita warga China ditahan di sini malam tadi kerana didapati menyalah guna pas lawatan sosial mereka untuk menjadi pelacur.

Wanita yang berumur antara 20 dan 35 tahun ditangkap dalam satu serbuan pada 11 malam di satu kawasan di Jalan Pudu, kata DSP Razali Abu Samah, Pegawai Turus Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian Kuala Lumpur.

"Ketika serbuan dibuat, mereka sedang sibuk mencari pelanggan," katanya.

Razali berkata siasatan awal mendapati mereka ini akan berurusan sendiri dengan pelanggan termasuk dalam soal harga sebelum membawa pelanggan ke hotel murah berdekatan.

Katanya kesemua wanita itu, yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dipercayai menawar khidmat seks serendah RM80 untuk mendapat duit sampingan untuk berbelanja. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain