suria

Pelajar buta sebelah mata saman polis, kerajaan RM10 juta

KOTA BHARU: Pelajar yang mata kanannya buta akibat terkena kelongsong gas pemedih mata semasa rusuhan perlawanan bola sepak di luar Stadium Sultan Muhammed IV pada 7 April lalu, hari ini menyaman kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM10 juta kerana kecuaian.

Muhammad Huzaifah Muhd. Noor, 18, pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa, memfailkan saman itu melalui peguamnya, Shaharuddin Mohamed di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.10 petang.

Muhammad Huzaifah yang bertindak selaku plaintif menamakan tiga defendan di dalam saman tersebut iaitu pegawai Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ASP M.Sathasivam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.

Plaintif menuntut defendan membayar ganti rugi am atas kecederaan parah di bahagian mata kanan yang dialami oleh plaintif akibat terkena tembakan peluru gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak defendan atau ejenejennya.

Beliau juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM10 juta atas kecuaian dan kelalaian defendan hingga mengakibatkan mata kanannya menjadi buta juga faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 20 April lalu, Muhammad Huzaifah telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Dalam laporannya, plaintif memberitahu, dia sedang sibuk mengemas gerai perniagaan sepupunya apabila tibatiba terkena kelongsong itu yang dipercayai dilepaskan oleh polis bagi meleraikan rusuhan di luar stadium, selepas perlawanan bola sepak.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, remaja berkenaan kemudian pengsan dan dikejarkan ke hospital.

Mata kanan Muhammad Huzaifah disahkan tidak dapat diselamatkan oleh doktor disebabkan kerosakan teruk termasuk kornea mata pecah, retina rosak serta matanya tidak dapat berfungsi.

Dalam kejadian rusuhan itu, yang melibatkan sekumpulan penyokong Kelantan dan polis, telah mengakibatkan sebuah kenderaan polis dibakar manakala beberapa kenderaan musnah, termasuk kereta milik Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Berikutan itu, pasukan Kelantan digantung dan tidak dibenarkan bermain di padang sendiri oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun 28 Mei lalu, FAM membuat keputusan menarik balik pengantungan itu berkuatkuasa serta-merta. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain