suria

Najib: Kehadiran Nik Aziz tunjuk keinginan hubungan baik dengan kerajaan pusat

BANDAR SERI BEGAWAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesudian Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengikuti program lawatannya ke Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZECER) dua hari lepas menunjuk keinginan pemimpin PAS itu untuk mewujudkan hubungan baik dengan kerajaan pusat.

Perdana Menteri berkata hubungan di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, terutamanya negeri yang dikuasai pembangkang termasuk di Kelantan, harus diberi tumpuan secara adil demi kepentingan rakyat.

"Dari segi keserasian (di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan), ia tidak boleh berlaku ke tahap yang tinggi dalam masa singkat tetapi apa yang penting ialah keikhlasan kita dan sikap saling hormat-menghormati yang dapat ditunjukkan oleh kedua pemimpin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi tiga harinya ke Brunei bagi menghadiri perbincangan tahunan kali ke-13 antara pemimpin keduadua negara, ketika diminta mengulas komen Nik Abdul Aziz yang menyatakan beliau amat bersyukur dengan layanan luar biasa perdana menteri sepanjang lawatannya ke Pekan, Pahang dua hari lepas.

"Saya amat menghargai komen Nik Aziz dan kesudiannya untuk menyertai program berkenaan," katanya sambil merujuk kepada komen pemimpin kerajaan negeri Kelantan itu yang turut berkata penghormatan yang tidak pernah dibuat oleh perdana menteri sebelum ini dilihat sungguh cantik, di samping senyuman pemimpin kerajaan pusat serta kehebatan kawasan itu yang tiada tolak bandingnya.

Najib berkata sebagai perdana menteri, beliau hendak berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain